Skip to main content

Singapura

COP27: Sistem penghasilan makanan perlu berubah untuk lebih berdaya tahan iklim, kata Grace Fu

Anggaran Waktu Membaca:
COP27: Sistem penghasilan makanan perlu berubah untuk lebih berdaya tahan iklim, kata Grace Fu
Diterbitkan : 13 Nov 2022 10:22AM Dikemas Kini : 13 Nov 2022 05:26PM

SINGAPURA: Sistem pengeluaran makanan perlu berubah untuk menjadi lebih berdaya tahan iklim, ketika perubahan iklim terus mengancam akses kepada makanan untuk ramai orang di seluruh dunia, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Ahad (12 Nov).

Berucap semasa satu acara bersama mengenai daya tahan makanan bersama di Astaka Singapura COP27 di Mesir, Cik Fu berkata negara-negara perlu pemahaman yang lebih baik tentang kesan perubahan iklim untuk beralih ke arah pengeluaran makanan yang berdaya tahan dan mampan.

"Sebagai sebuah pulau kecil dengan kurang 1 peratus daripada tanah kami tersedia untuk pengeluaran makanan, syarikat kami dalam ekosistem agrimakanan mesti tanam lebih banyak dengan sumber yang kurang," kata Cik Fu. 

"Kami telah meletakkan matlamat '30 jelang 30' untuk membangunkan keupayaan dan kapasiti untuk  menghasilkan 30 peratus bekalan makanan sendiri jelang 2030. Ia adalah matlamat bercita-cita tinggi yang memerlukan inovasi.

"Sementara kami masih berada di peringkat permulaan membangunkan industri teknologi pertanian kami, saya gembira untuk berkongsi bahawa kami melihat beberapa inovasi yang berpotensi."

Cik Fu menyebut Beras Temasek - dibangunkan oleh penyelidik di Makmal Sains Hayat Temasek - yang boleh menahan keadaan iklim yang melampau seperti banjir, kemarau dan haiwan perosak.

Singapura juga sedang membangunkan huraian seperti sistem menanam sayur-sayuran dalam bangunan yang menggunakan 90 peratus kurang air dan sistem akuakultur kitar semula untuk pengeluaran ikan air masin, menggunakan kurang tenaga dan mengitar semula sisa ikan menjadi produk berharga.

Ia juga melabur dalam penyelidikan untuk teknologi baru, tambahnya.

"Pada 2019, kami memulakan Program R&D Kisah Makanan Singapura yang memberi tumpuan pada pengeluaran makanan bandar yang mampan, makanan masa depan, dan sains dan inovasi keselamatan makanan," kata Cik Fu.

"Bulan lepas, kami mengumumkan akan melabur dalam bidang seperti meningkatkan mutu dan kepelbagaian hasil tanaman dan ikan, dan membangunkan makanan masa depan dengan mengandungi khasiat, rasa dan tekstur yang lebih baik. Ini menjadikan komitmen kami di bawah program ini kepada S$300 juta."

Makanan baru merupakan satu lagi bidang berpotensi untuk menambah jaminan bekalan makanan, katanya, sambil menambah ia menggunakan kurang tanah dan mempunyai jejak karbon yang lebih kecil berbanding protein haiwan konvensional.

"Untuk membolehkan inovasi sambil mengawal keselamatan makanan sedemikian, Agensi Makanan Singapura telah menyediakan rangka kerja kawalselia makanan baru untuk memudahkan syarikat yang menghailkan produk makanan baru menjalankan penilaian keselamatan produk mereka sebelum ia dibenarkan untuk dijual," katanya. .

Pada 2020, Singapura menjadi pihak berkuasa kawal selia pertama yang membenarkan daging dihasilkan di makmal dijual. Baru-baru ini, produk makanan yang mengandungi protein mikrob Solein juga diluluskan untuk dijual, kata Cik Fu.

Beliau menambah bahawa produk daging sedemikian akan mengambil masa untuk ditingkatkan dan dijual di pasaran.

KAJIAN SAINS IKLIM

Cik Fu berkata perubahan iklim akan menjejaskan pengeluaran makanan di Asia Tenggara, memberi kesan kepada jamina bekalan makanan di seluruh dunia.

"Perubahan suhu dan karbon dioksida di uadara boleh menjejaskan hasil tanaman. Perubahan iklim juga akan meningkatkan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca melampau seperti kemarau dan banjir," kata Cik Fu.

"Sebagai contoh, menjelang akhir abad ini, hasil padi beberapa negara di Asia Tenggara mungkin berpotensi merosot kira-kira 50 peratus, dengan mengandaikan tiada penyesuaian atau peningkatan teknikal."

Singapura menubuhkan Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) pada 2013 untuk lebih memahami kesan serantau seperti itu, kata Cik Fu.

"CCRS membawa model iklim global kepada model setempat dengan resolusi lebih besar untuk suhu, hujan dan perubahan angin," tambahnya.

"Model ini membolehkan penilaian yang lebih baik tentang perubahan iklim pada hasil tanaman dan akuakultur serantau, memaklumkan pemahaman kami tentang daya tahan makanan, dan membimbing kami dalam membangunkan huraian penyesuaian."

Data yang dikumpul akan dikongsi secara bertahap-tahap melalui platform seperti Eksperimen  Serantau Bersepadu bagi Rantau Asia Tenggara dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB.

Ini akan membantu negara di rantau ini berkongsi maklumat dan "melengkapkan diri mereka dengan lebih baik dalam memahami kesan perubahan iklim", tambahnya,

Cik Fu akan berada di Mesir sehingga 20 Nov untuk menghadiri sidang puncak COP27 dan mesyuarat berkaitannya, kata Kementerian Kemampanan dan  Sekitaran dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau akan menyampaikan kenyataan  Singapura, menghadiri acara peringkat tinggi, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, dan mengambil bahagian dalam acara di Astaka Singapura. Cik Fu diiringi oleh pegawai-pegawai dari agensi dalam Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Perubahan Iklim.

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita