Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COP27: SG seru tumpuan global & tindakan di tengah-tengah 'perang' krisis iklim

Anggaran Waktu Membaca:
COP27: SG seru tumpuan global & tindakan di tengah-tengah 'perang' krisis iklim

(Gambar:AFP/File/Ludovic MARIN)

SHARM EL-SHEIKH, MESIR: Singapura memberi amaran bahawa dunia boleh "hilang tumpuan kepada perang krisis iklim" sedang pemerintah-pemerintah meneruskan rundingan di sidang puncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mesir.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu menyampaikan kenyataan negara Singapura di COP27 pada Selasa (15 Nov) dan mengesahkan komitmen negara kepada tindakan tegas global dalam dekad ini.

Beliau berkata ada risiko bahawa negara-negara memberikan tumpuan kepada "isu mendesak hari ini" namun hilang tumpuan kepada keperluan untuk berkongsi cita-cita antarabangsa untuk mengekalkan suhu rendah global.

"Singapura menyeru komitmen, pelaksanaan dan perkongsian bagi tindakan global yang tegas dalam dekad ini untuk mengekalkan 1.50 darjah selsius dalam jangkauan."

"Kita harus bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sudah dipersetujui, bagi bumi yang hijau. Piawaian global dan perdagangan bebas tarif adalah penting untuk menetapkan teknologi dan produk mesra alam sekitar. Pengeluar karbon terbesar di dunia harus memimpin peralihan ekonomi secara usaha sama."

Ramalan pelepasan karbon, terutama sekali di sektor kuasa yang sangat mencemarkan, sudah terjejas oleh pencerobohan Rusia yang berterusan ke atas Ukraine.

Laporan terkini PBB menunjukkan bahawa meskipun negara-negara secara perlahan-lahan mengurangkan pelepasan karbon, ia tidak cukup pantas untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah selsius menjelang akhir abad ini.

Cik Fu menekankan komitmen iklim terkini Singapura, terutamanya mengukuhkan rancangan jangka panjang untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050 dan mengurangkan pelepasan kepada 60 juta tan menjelang hujung dekad ini.

Beliau menyeru agar negara lain mencatat "pengurangan sebenar pelepasan karbon".

Singapura sudah menyertai beberapa gabungan semasa sidang puncak itu untuk memperkukuhkan tindakan berhubung isu-isu termasuk penggunaan hutan dan tanah, pasaran karbon, perkapalan hijau, keselamatan air dan sistem amaran awal global.

"Kami juga sedang merangsang daya tahan makanan melalui teknologi pengeluaran yang inovatif dan untuk membuat bandar baru lebih berdaya tahan iklim," kata beliau.
Beliau juga berkata Singapura akan melancarkan Pakej Tindakan Kemampanan baru bagi tempoh tiga tahun untuk mempertingkat pembangunan keupayaan dalam bidang seperti strategi penyesuaian dan pembinaan daya tahan, pengurusan dan pembiayaan projek hijau, pembangunan rendah karbon dan pasaran karbon.

Ia akan membantu untuk meningkatkan kerjasama serantau dan membantu negara-negara Asia Tenggara menangani krisis iklim secara bersatu.

Beliau juga menarik perhatian mengenai rancangan Singapura untuk mengimport tenaga 4GW tenaga bersih menjelang 2035 dan perintis Projek Integrasi Tenaga antara Lao-Thailand-Malaysia-Singapura.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan