Skip to main content

Iklan

error

  • Could not retrieve the oEmbed resource.

Iklan

Singapura

Converts Central pergiat usaha dampingi masyarakat mualaf sepanjang Ramadan ini

Anggaran Waktu Membaca:
Converts Central pergiat usaha dampingi masyarakat mualaf sepanjang Ramadan ini

(Gambar: Instagram/Converts Central)

BERITAmediacorp: Ibadah sempena bulan Ramadan di sebilangan besar masjid setempat lazimnya dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Arab. Persekitaran sedemikian mungkin tidak sesuai terutama sekali bagi para mualaf yang baru sahaja memeluk agama Islam, apatah lagi menyambut bulan Ramadan pertama mereka.

Dengan mengenal pasti jurang tersebut dalam memenuhi keperluan masyarakat mualaf khususnya, Converts Central melancarkan inisiatif khas, yang dinamakan ‘Project Empowering Muslims’ (Projek Memperkasa Muslim), sempena bulan Ramadan.

Di bawah projek tersebut, kegiatan-kegiatan ibadah dijalankan dalam bahasa Inggeris dan diajarkan mengikut kesesuaian tahap pemahaman saudara baru Islam.

“Bulan Ramadan ini, kami cuba untuk mengenal pasti beberapa jurang yang wujud dalam masyarakat, di mana kami tampil untuk membantu bukan saja para mualaf yang sedang cuba untuk mendalami agama Islam, bahkan mereka yang dilahirkan Muslim dan sedang berusaha untuk mendalami semula agama Islam,” kata Encik Kaven Siddique Lim, 25 tahun, mahasiswa Tahun 4 di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Encik Siddique merupakan pengasas Converts Central dan juga seorang mualaf yang melafazkan Syahadahnya pada tahun 2018, pada usia hanya 20 tahun.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Converts Central mengendalikan sesi berbuka dan tarawih pada setiap hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat. Ia bertujuan untuk menyediakan ruang yang selesa, terutama sekali bagi para peserta yang masih sedang mempelajari ibadah-ibadah yang dilaksanakan dalam bulan Ramadan.
 
Ini agar mereka dapat menyesuaikan diri dalam mengerjakan ibadah masing-masing, di samping peserta lain yang mempunyai tahap pengetahuan dan amalan serupa. Malah, para mualaf kaum Adam turut diberi peluang untuk memimpin solat tarawih secara bergilir-gilir semasa sesi-sesi tersebut, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina keyakinan mereka.
Pada hujung minggu pula, Converts Central mengadakan kegiatan “Mosque Hopping”, di mana ia mengajak para mualaf untuk pergi ke masjid-masjid tempatan di merata Singapura untuk mengamalkan apa yang dipelajari semasa sesi mingguan tersebut. Ini sekali gus memperkasa mereka untuk melakukan amalan ibadah masing-masing.

Selain itu, Converts Central juga mengadakan sesi membaca al-Quran selama setengah jam dan juga, perkongsian Tafsir serta renungan setiap minggu. Para peserta digalakkan untuk menghayati pembacaan serta pemahaman al-Quran masing-masing tidak kira sama ada mereka membacanya dalam bahasa Arab mahupun terjemahan dalam bahasa Inggeris.

“Kami ingin memupuk tabiat membaca al-Quran sepanjang Ramadan dalam kalangan para peserta, dan insha Allah agar mereka meneruskan amalan tersebut sepanjang hayat mereka,” kongsi Encik Siddique kepada BERITAmediacorp.

“TIADA SIAPA PATUT RASA KESEORANGAN”

Dengan sokongan wakaf yang diterima daripada Rose of Madinah SG, program khas Ramadan tersebut dikendalikan sepenuhnya secara fizikal buat julung-julung kalinya pada bulan Ramadan ini setelah tiga tahun Converts Central bertapak.

Ini kerana usaha masyarakat tersebut bermula ketika pandemik COVID-19 melanda dan dijalankan melalui siri podcast mereka.

“Ini kerana para mualaf tidak boleh meninggalkan rumah masing-masing ketika itu, bukan kerana pilihan tetapi keadaan disebabkan sekatan pemutus rantaian jangkitan. Mereka mempunyai banyak cabaran di rumah. Sesetengah mereka berpuasa buat pertama kali seumur hidup mereka dan ia amat sukar. Sebilangan pula mempunyai anggota keluarga yang tidak tahu mereka sudah memeluk agama Islam dan ada pula yang hanya melafazkan Syahadah mereka kurang sebulan dan mereka terpaksa terkongkong di rumah,” ujar Encik Siddique.

Dalam pada itu, beliau bersyukur melihat bagaimana Converts Central sudah berkembang sejak beberapa tahun ini, dalam usaha membawa manfaat kepada masyarakat mualaf setempat.

Berbekalkan pengalaman beliau sendiri sebagai seorang mualaf, Encik Siddique menzahirkan harapan agar Converts Central dapat terus menyumbang dalam membantu masyarakat mualaf khususnya untuk tidak merasakan bahawa mereka keseorangan dan dapat menjalinkan ukhuwah dalam membina masyarakat yang saling memberi inspirasi kepada satu sama lain untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan