ComfotDelGro rintis khidmat tempahan baru sedang permintaan meningkat
ComfortDelGro mengumumkan pada Selasa (7 Mei) ia akan merintiskan sebuah khidmat tempahan baru dipanggil ComfortRIDE.
Gambar fail teksi ComfortDelGro.
SINGAPURA: ComfortDelGro mengumumkan pada Selasa (7 Mei) ia akan merintiskan sebuah khidmat tempahan baru dipanggil ComfortRIDE. Ia membolehkan para penumpang untuk menempah khidmat kenderaan dengan tambang tetap berdasarkan permintaan sewaktu tempahan.
Dalam kenyataan medianya, syarikat pengendali teksi itu menyatakan ia akan memulakan ujian rintis ComfortRIDE di aplikasi ComfortDelGro Taxi Booking App sedia ada pada 15 Mei ini. Sebagai permulaan, khidmat tersebut akan disediakan kepada sekumpulan kecil penumpang dan mungkin akan diluaskan kepada lebih ramai penumpang pada masa kelak.
Dengan khidmat rintis itu, para penumpang boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk memilih tempahan berdasarkan meter atau pilihan ComfortRIDE baru yang akan menghantar sama ada teksi, atau mungkin pada masa akan datang, kenderaan sewa privet.
ComfortRIDE hanya dapat digunakan bagi tempahan semasa dan tambangnya akan disesuaikan mengikut permintaan dan bekalan dalam pasaran.
"Tambang pada waktu-waktu sibuk akan, bagaimanapun, dipantau dan sebarang kenaikan harga akan dihadkan dan tidak mendadak," menurut ComfortDelGro.
Syarikat itu menambah khidmat tersebut akan menghimpunkan 12,000 teksinya serta mungkin kenderaan-kenderaan sewa privet untuk membantu meredakan krisis bekalan terutama sekali semasa hari-hari hujan.
"Jumlah tempahan kami bagi 2018 naik 7.4 peratus dan kami masih lagi mengalami peningkatan dalam empat bulan pertama 2019," kata Ketua Pegawai Eksekutif ComfortDelGro Ang Wei Neng.
"Matlamat ComfortRIDE adalah untuk memenuhi permintaan terutama semasa waktu-waktu sibuk. Dengan lebih banyak teksi di jalan-jalan raya semasa waktu sibuk, para penumpang boleh memperolehi tempahan kenderaan lebih cepat dan masa menunggu mereka juga akan dikurangkan.
"Ini akan menjana permintaan dan oleh itu para pemandu teksi boleh menjangkakan peluang meraih pendapatan lebih baik," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.