Skip to main content

Singapura

ComfortDelGro tawar tempahan talian hotline dari SG ke Johor Bahru mulai 25 Sep

Anggaran Waktu Membaca:
ComfortDelGro tawar tempahan talian hotline dari SG ke Johor Bahru mulai 25 Sep

Logo ComfortDelGro. (Gambar fail: ComfortDelGro)

Diterbitkan : 19 Sep 2025 01:46PM Dikemas Kini : 19 Sep 2025 01:59PM
SINGAPURA: Penumpang yang menuju ke Johor Bahru akan dapat menempah perjalanan dari mana-mana lokasi di Singapura menggunakan talian hotline ComfortDelGro tidak lama lagi.

Pengendali teksi terbesar Singapura itu mengumumkan pada Khamis (18 Sep) bahawa perkhidmatan ini akan dilancarkan pada 25 September.

Kebanyakan perjalanan dari Singapura ke Terminal Larkin Johor Bahru akan dikenakan tambang tetap sebanyak S$80, menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi catatan di Facebook mereka.

Pengambilan dari kawasan menunggu teksi di Ban San Street berharga S$60, manakala pengambilan dari Lapangan Terbang Changi berharga S$120.

Teksi berdaftar Singapura dan Malaysia adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan merentas sempadan berlesen yang diluluskan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia.

Teksi berlesen dibenarkan untuk mengambil atau menurunkan penumpang di mana-mana sahaja dalam negara masing-masing, tetapi dikehendaki menggunakan terminal yang ditetapkan selepas merentasi sempadan.

Teksi Singapura mesti menurunkan pelanggan mereka di Larkin Sentral di Johor Bahru, manakala teksi Malaysia mesti menurunkan pelancong di Terminal Ban San Street.

Mediacorp sudahpun menghubungi ComfortDelGro untuk mengetahui jumlah pemandu mereka yang berlesen untuk perkhidmatan merentas sempadan tersebut dan sama ada mereka semua akan menjadi sebahagian daripada skim panggilan tempahan baru itu.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa pemandu teksi menghadapi persaingan sengit daripada pengendali merentas sempadan haram yang menawarkan untuk mengambil penumpang dari rumah mereka dan menurunkan mereka di destinasi yang dituju.

Pada awal September, LTA menyatakan bahawa mereka mengakui skim merentas sempadan semasa boleh diperbaiki, seperti dengan menetapkan lebih banyak tempat pengambilan dan penurunan penumpang serta memudahkan proses pelepasan yang dipercepatkan.

Ia menambah bahawa terdapat perbincangan mengenai pengembangan skim teksi merentas sempadan semasa untuk membenarkan kuota yang lebih tinggi dan kenderaan berkapasiti lebih besar, serta bekerjasama dengan syarikat platform untuk tempahan berasaskan aplikasi.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita