Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ComfortDelGro tawar pemandu teksi skim uji cuba pendapatan dengan manfaat; sifatkan gaji asas S$1,800 terlalu rendah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengendali teksi terbesar di Singapura sedang menawarkan pemandu teksi cara baharu untuk meraih pendapatan dengan berkhidmat sebagai pekerja sepenuh masa dengan syarikat tersebut.

Mereka akan diberikan pendapatan bulanan sebanyak S$1,800 serta manfaat lain.

Skim baharu ComfortDelGro beralih daripada model pengambilan pekerja tradisional, di mana seorang pemandu menyewa sebuah teksi dan mengambil duit yang diraih menerusi tambang, selepas membayar kos minyak dan komisen kepada pengendali.

Ia menawarkan pemandu fleksibiliti untuk memutuskan berapa lama dan bila dia ingin memandu, meskipun pendapatan mereka berubah.

Skim uji cuba oleh ComfortDelGro, yang dimuat naik sebagai iklan pekerjaan online pada 5 Januari, meliputi tempoh memandu yang tetap selama 11 jam jika seorang pemandu teksi bekerja empat hari seminggu, atau sembilan jam sehari sekiranya dia bekerja lima hari seminggu.

ComfortDelGro memberitahu Mediacorp bahawa ia adalah pertama kali syarikat tersebut memperkenalkan skim sedemikian, dan ia akan menawarkannya sehingga hujung Mac.

“Skim tersebut memperkasa pemandu teksi untuk membuat pilihan yang paling sesuai dengan keperluan dan pilihan mereka. Ia bukan sahaja akan meningkatkan ketersediaan pemandu tetapi juga menangani isu permintaan pelanggan yang tidak dipenuhi untuk teksi, sekali gus menjadikan masa menunggu lebih singkat untuk setiap penumpang,” kata seorang jurucakap.

Beliau menambah bahawa syarikat tersebut berharap untuk mengambil sehingga 50 pemandu dalam tempoh uji cuba itu.

Sebagai sebahagian daripada skim itu, pemandu akan menerima manfaat pekerja sepenuh masa seperti cuti tahunan, cuti sakit dan caruman pekerja kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.

Mereka juga akan mendapat elaun telefon bimbit S$50, dan kos bahan api akan ditanggung oleh ComfortDelGro.

Selain itu, mereka yang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) harian akan menerima bonus. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut tidak mengulas lanjut tentang KPI itu.

MODEL BERBEZA MUNGKIN BERKESAN BAGI SEBILANGAN PEMANDU: PENGANALISIS

Profesor Terence Fan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata bahawa skim itu merupakan cara ComfortDelGro untuk cuba menarik balik pemandu yang mungkin beralih kepada model sewa privet disebabkan pandemik.

Jumlah teksi di Singapura merosot sejak ia memuncak pada 2014, dengan kira-kira 28,000 teksi di jalan raya ketika itu.

Setakat November 2023, terdapat kurang daripada separuh jumlah itu, atau 13,622 teksi, yang sedang beroperasi.

Meskipun ComfortDelGro, yang mengendalikan kedua-dua ComfortDelGro dan CityCab, terus menjadi pengendali terbesar di sini, saiz pekerjanya juga menyusut kepada 8,841 pada Oktober tahun lalu, turun daripada 13,244 pada Disember 2017.

Sementara itu, bilangan kereta sewa privet meningkat dengan stabil, daripada 67,990 pada 2021 kepada 79,921 pada November 2023.

GAJI LEBIH TINGGI AKAN JADIKAN SKIM LEBIH REALISTIK, MENARIK: PEMANDU

Meskipun pakar bersetuju bahawa pilihan sedemikan mungkin menarik bagi beberapa pemandu, beberapa pemandu yang ditemui Mediacorp berkata bahawa meskipun pendapatan yang stabil merupakan pilihan menarik, gaji bulanan S$1,800 yang ditawarkan terlalu rendah.

"Seorang pemandu teksi berdepan risiko lebih tinggi berbanding pekerja pembersihan atau IT, jadi saya tidak akan mengambil pekerjaan dengan gaji S$1,800. Namun jika ia sekitar S$4,000, saya fikir ia adalah baik," kata pemandu teksi ComfortDelGro Chandra PR. Encik Chandar menambah bahawa gajinya buat masa ini adalah antara S$4,000 dan S$5,000.

"Harga barangan sedang meningkat. Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) juga sudah naik. Gaji S$5,000 adalah lebih baik. Pada masa ini, jarang untuk kita lihat pemandu teksi dan kereta privet yang tidak berkeluarga atau tidak mempunyai komitmen," kata seorang pemandu kereta sewa privet yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan