Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ComfortDelGro naikkan buat sementara tambang; bantu pemandu tangani kenaikan harga minyak

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2022 08:46PM Dikemas Kini : 28 Mar 2022 09:03PM

SINGAPURA: Mulai Isnin depan (4 April), ComfortDelGro akan menaikkan tambang teksinya buat sementara bagi meringankan kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini, menurut pengendali teksi terbesar itu dalam satu kenyataan media pada Isnin (28 Mac).

Menurutnya kenaikan sementara itu diperkenalkan menyusuli "maklum balas kukuh" daripada pemandu.

Langkah itu akan disemak semula pada penghujung Mei dan dimansuhkan jika harga minyak berkurangan, tambahnya.

Tambang teksi ComfortDelGro akan naik bagi jarak dan masa menunggu sebanyak 1 sen.

Ini bermakna kadar jarak yang kini 24 sen untuk teksi biasa dan 33 sen bagi teksi limosin akan masing-masing meningkat kepada 25 sen dan 34 sen.

Semakan tambang itu akan menyaksikan tambang naik kira-kira 32 sen bagi perjalanan sejauh 10 kilometer, menurut ComfortDelGro.

Tambang tahan teksi bagaimanapun tidak berubah.

"Dengan purata 10 hingga 12 perjalanan sehari, pendapatan pemandu teksi dijangka naik antara S$3.20 dengan S$3.84 setiap hari," tambahnya.

"Ini akan membantu untuk mengurangkan kesan lonjakan harga minyak baru-baru ini, yang sudah meningkatkan kos minyak harian mereka antara S$3.55 dengan S$13.50 pada bulan lalu."

Kenaikan sementara itu dilakukan kurang sebulan setelah ComfortDelGro menaikkan tambangnya pada 1 Mac lalu, kali pertama dalam sedekad.

ComfortDelGro juga melanjutkan rebat sewa sekali sahaja kepada penyewanya sebanyak S$90, untuk terus membantu pemandu teksi menghadapi kenaikan kos minyak yang tinggi, tambah syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Teksi ComfortDelGro Jackson Chia berkata keputusan untuk memperkenalkan kenaikan tambang sementara itu diambil selepas "pertimbangan yang sangat teliti".

"Kami berharap penumpang memahami bahawa ini adalah pilihan terakhir dan akan dimansuhkan apabila harga minyak kembali ke paras yang munasabah," katanya.

ComfortDelGro menyatakan ini adalah kali kedua ia melaksanakan kenaikan tambang buat sementara berkaitan dengan harga minyak, setelah memperkenalkan surcaj minyak 30 sen antara Julai dengan November pada 2008 disebabkan "peningkatan berterusan dalam harga minyak".

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan