ComfortDelGro mohon maaf pemandunya pengsan semasa pandu di ECP
Pengendali teksi ComfortDelGro mengeluarkan kenyataan maaf selepas seorang pemandunya pengsan semasa memandu di East Coast Parkway (ECP) pada Jumaat (8 Mac).

Penumpang keluar dari teksi di ECP. (Petikan gambar dari video Facebook)
SINGAPURA: Pengendali teksi ComfortDelGro mengeluarkan kenyataan maaf selepas seorang pemandunya pengsan semasa memandu di East Coast Parkway (ECP) pada Jumaat (8 Mac).
Satu rakaman video dari kamera yang dipasang dalam kenderaan, menunjukkan sebuah teksi tiba-tiba masuk dua lorong lain dan melanggar penghadang jalan sebanyak dua kali. Video yang dimuat naik ke laman Facebook itu juga menunjukkan kenderaan lain berhenti atau dipandu perlahan bagi mengelak daripada berlanggar dengan teksi tersebut.
Seorang penumpang dilihat keluar dari teksi yang masih bergerak itu. Beliau kemudian mendekati sebuah kereta merah di belakang teksi tersebut lalu menaikinya.
Teksi itu pula kelihatan terus bergerak di ECP.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Ketua Pegawai Perhubungan ComfortDelGro Tammy Tan mengesahkan bahawa insiden itu berlaku pada Jumaat (8 Mac), sekitar 1.30 tengah hari.
"Pemandu teksi kami sedang dalam perjalanan membawa penumpangnya di ECP apabila tiba-tiba pengsan buat seketika waktu," kata Cik Tan.
"Apabila tersedar, beliau menyedari bahawa penumpangnya sudah tidak lagi ada dalam teksi. Beliau ingin segera keluar daripada ekspreswe itu dan meminta bantuan kecemasan. Jadi, beliau memandu dengan perlahan sehingga ke susur keluar Rochor Road," katanya, sambil menambah bahawa pemandu berkenaan kemudian meminta bantuan.
Pemandu teksi terbabit dimasukkan ke hospital untuk dipantau keadaannya.
Cik Tan juga berkata bahawa ComfortDelGro sudah menghubungi penumpang berkenaan dan akan mengirimkan hamper serta baucar sebagai tanda muhibah.
"Kami juga meminta maaf kepada semua pemandu yang terjejas dalam insiden itu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pemandu wanita yang membantu," kata Cik Tan.
Polis mengesahkan bahawa laporan sudah dibuat dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.