ComfortDelGro mohon maaf logo 'Z' aplikasinya serupa lambang sokong Rusia
Syarikat pengendali teksi ComfortDelGro Taxi memohon maaf atas satu aplikasi baru dengan logo yang memaparkan huruf Z diolah dalam gaya yang melambangkan sokongan terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine.

Pengiklanan bagi aplikasi CDC Zig, termasuk huruf Z, seperti yang dilihat pada teksi ComfortDelGro. (Gambar: ComfortDelGro/Facebook)
SINGAPURA: Syarikat pengendali teksi ComfortDelGro Taxi memohon maaf atas satu aplikasi baru dengan logo yang memaparkan huruf Z diolah dalam gaya yang melambangkan sokongan terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine.
Syarikat itu menyatakan ia akan "menilai semula pelancaran aplikasi tersebut".
Dalam catatan Facebooknya pada Isnin (25 Apr), syarikat itu menyatakan ia menerima "beberapa maklum balas" mengenai aplikasi mobiliti dan gaya hidupnya yang baru iaitu CDG Zig. Aplikasi itu menggunakan huruf "Z" berwarna putih yang berlatarbelakangkan warna biru sebagai logonya.
Ia dilancarkan pada Rabu lalu selepas syarikat itu menggabungkan aplikasi tempahan teksi dengan aplikasi gaya hidup Zig.
“Kami ingin menyatakan secara mutlak bahawa kami tidak menyokong penggunaan kekerasan dan pencerobohan terhadap sesebuah negara berdaulat," tegas syarikat itu.
“Huruf Z tidak pernah digunakan sebagai propaganda perang sebelum ini - tentu sekali bukan untuk tujuan itu ketika kami melancarkan Zig pada tahun lalu."
"Kami ingin memohon maaf sekiranya kami menyinggung perasaan sesiapa. Ia sememangnya bukan niat kami," tambahnya.
“Setelah menerima maklum balas anda, kami akan menilai semula pelancaran logo baru kami buat masa ini."
Sejak Rusia mencerobohi Ukraine pada Februari, huruf Z digunakan sebagai tanda pada kenderaan tentera Rusia yang terlibat dalam konflik tersebut. Ia dipercayai bagi membantu pasukan Rusia mengenal pasti kenderaannya sendiri.
Sedari itu, huruf Z digunakan oleh warga Rusia yang menyokong peperangan tersebut. Huruf Z dilihat dicatkan pada perhentian bas, papan jalan raya serta papan iklan di Rusia dan bahkan juga digunakan oleh Kementerian Pertahanan Rusia dalam sebuah kempen promosi.
Bulan lalu, syarikat Switzerland Zurich Insurance memadamkan logonya - juga memaparkan huruf Z putih dengan latar belakang berwarna biru - daripada media sosial kerana ia tidak mahu disalah anggap sebagai menyokong Rusia dalam konflik tersebut.
ComfortDelGro memperakui pada Isnin bahawa pelancaran semula aplikasi itu di tengah-tengah konflik yang sedang berlarutan mungkin dianggap sebagai tidak sensitif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.