Skip to main content

Singapura

ComfortDelGro akan kenakan bayaran S$3 ke atas jika tempahan dibatal, teksi tunggu lama

Anggaran Waktu Membaca:
ComfortDelGro akan kenakan bayaran S$3 ke atas jika tempahan dibatal, teksi tunggu lama

Gambar fail teksi ComfortDelGro. (Gambar fail: ComfortDelGro)

Diterbitkan : 16 Jul 2025 07:49PM Dikemas Kini : 16 Jul 2025 08:33PM

SINGAPURA: Pelanggan pengendali teksi terbesar Singapura ComfortDelGro (CDG) tidak lama lagi perlu membuat bayaran sekurang-kurangnya S$3 sekiranya mereka membatalkan tempahan dan membuat teksi menunggu lama.

Dasar baharu ini berkuat kuasa pada 31 Julai, namun akan ada "tempoh pengecualian", menurut ComfortDelGro.

Oleh itu, pelanggan hanya akan dikenakan bayaran pembatalan mulai 1 September dan surcaj bagi tempoh menunggu mulai 15 Oktober.

Tempoh pengecualian tersebut akan membolehkan pelanggan membiasakan diri dengan dasar tersebut, menyesuaikan tabiat mereka ketika membuat tempahan dan memberikan maklum balas kepada ComfortDelGro, katanya.

Menurut laman ComfortDelGro, pelanggan boleh membatalkan sehingga empat perjalanan sebulan jika pemandu mereka belum tiba di tempat mengambil penumpang.

Bayaran S$4 dikenakan jika mereka habis menggunakan kuota bulanan itu.

Jika teksi sudahpun tiba di tempat mengambil penumpang, pelanggan perlu membayar bayaran S$4 jika mereka ingin membatalkan tempahan. Ini tidak mengira kuota bulanan mereka.

Jika pelanggan tidak berada di tempat mengambil penumpang lebih dari lima minit selepas teksinya tiba, pelanggan itu akan dikenakan bayaran sebanyak S$5.

Dasar baharu ComfortDelGro, jika teksi menunggu lama, menyatakan bahawa pelanggan tidak akan dikenakan bayaran untuk empat minit pertama.

Selepas had masa itu, S$3 akan ditambah kepada tambang mereka untuk setiap lima minit tambahan dalam tempoh menunggu, sehingga maksimum S$9.

Bayaran pembatalan akan dikenakan secara automatik bagi pelanggan yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.

Bagi mereka yang menggunakan wang tunai, bayaran pembatalan akan ditambah kepada tambang perjalanan seterusnya.

Bayaran bagi tempoh menunggu ditambah secara automatik kepada tambang pada akhir perjalanan.

PROSES BAYARAN

Senario tambahan di mana pelanggan mungkin dikenakan bayaran pembatalan termasuk apabila pemandu membuat pembatalan selepas menunggu lebih dari lima minit di tempat mengambil penumpang, dan apabila beg pelanggan melebihi kapasiti yang dinyatakan untuk kenderaan yang dipilih.

Menurut maklumat di laman ComfortDelGro, pemandu hanya dibenarkan membatalkan perjalanan apabila mereka ditunjukkan berada di lokasi mengambil penumpang mengikut data GPS, dan apabila mereka sudah menunggu lebih dari lima minit.

"Dasar kami berkuat kuasa untuk memastikan kedua-dua pihak dilayan secara adil," katanya.

Pelanggan yang merasakan bahawa mereka dikenakan bayaran secara salah boleh menghubungi talian hotline pengendali teksi di 65524525 atau menggunakan fungsi mesej dalam aplikasi CDG Zig.

Tempoh pengecualian akan membantu pemandu dan penumpang "membiasakan diri dengan perubahan tersebut", menurut ComfortDelGro.

Syarikat itu menambah bahawa ia melaksanakan dasar tersebut pada aplikasinya "untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan memastikan keadilan untuk semua pengguna kami".

"Bayaran pembatalan dan tempoh menunggu membantu memberi pampasan yang adil kepada pemandu untuk masa dan usaha mereka.

"Dasar ini juga menggalak tabiat tempahan dan pembatalan yang lebih bertanggungjawab, meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk semua di platform dan menyelaraskan kami dengan amalan industri semasa," tambah pengendali itu.

ComfortDelGro menyatakan bahawa hanya bayaran pembatalan atau bayaran 'tidak hadir' akan dikenakan dalam setiap kes.

Pelanggan akan dikenakan bayaran tempoh menunggu hanya jika mereka menyelesaikan perjalanan dan sebaliknya, manakala bayaran pembatalan atau 'tidak hadir' hanya akan dikenakan jika perjalanan tidak diselesaikan.

Related article image
Petikan skrin notis mengenai dasar pembatalan dan pembetulan pada aplikasi Zig ComfortDelGro. (Gambar: CNA)
Pada Isnin (14 Jul), beberapa pengguna aplikasi CDG Zig melaporkan bahawa mereka menerima pemberitahuan mengenai bayaran tersebut, yang "dikenakan untuk pembatalan saat-saat akhir dan masa menunggu yang panjang".

Notis tersebut juga menyatakan: "Terima kasih kerana menghargai masa pemandu kami."

Sebuah lagi notis kepada pengguna dikeluarkan selepas itu, menyatakan bahawa "dasar pembatalan baharu belum lagi berkuat kuasa".

ComfortDelGro menyatakan bahawa tarikh pelancaran dan butiran lanjut mengenai dasar tersebut akan dikongsi tidak lama lagi, dan memohon maaf kepada pengguna atas kekeliruan tersebut.

Syarikat e-panggilan khidmat pengangkutan turut mempunyai bayaran yang serupa.

Grab, misalnya, mempunyai tempoh pembatalan percuma selama tiga minit untuk kebanyakan perjalanan yang ditempah di platformnya.

Bayaran S$4 dikenakan jika penumpang membatalkan tempahan lebih dari tiga minit selepas mendapat pemandu. Ini dikenakan untuk jenis perkhidmatan termasuk JustGrab, teksi standard, GrabCar, Grabcar Premium dan GrabFamily.

Penumpang juga akan dikenakan bayaran S$3 bagi setiap tempoh lima minit masa menunggu untuk kebanyakan jenis perjalanan, jika mereka membuat pemandu menunggu lebih lama dari tiga minit.

Pengguna Gojek diberi tempoh menunggu selama empat minit setelah mereka dipadankan dengan pemandu sebelum bayaran pembatalan S$4 dikenakan.

Mereka juga dikenakan bayaran jika pemandu mereka sudahpun tiba atau jika pemandu membatalkan selepas tiba dan menunggu lebih dari empat minit.

Bayaran menunggu sebanyak S$3 dikenakan untuk penumpang Gocar dan GocarXL jika pemandu menunggu lebih dari empat minit. Tambahan S$3 kemudian dikenakan untuk setiap lima minit tambahan, dengan jumlah maksimum dihadkan pada S$9.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita