Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COL Muhammad Helmi Khaswan antara 778 pegawai MINDEF, SAF naik pangkat tahun ini

Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Muhammad Helmi Khaswan antara pengawal jenazah di upacara persemadian mendiang Lee Kuan Yew pada 2015.

Anggaran Waktu Membaca:
COL Muhammad Helmi  Khaswan antara 778 pegawai MINDEF, SAF naik pangkat tahun ini

Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Muhammad Helmi Khaswan dinaikkan pangkat kepada Kolonel berkuat kuasa 1 Julai 2022. (Gambar: Kenneth Lin/Pioneer)

Diterbitkan : 01 Jul 2022 11:19AM Dikemas Kini : 01 Jul 2022 11:39AM
SINGAPURA: Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Muhammad Helmi Khaswan antara pengawal jenazah di upacara persemadian mendiang Lee Kuan Yew pada 2015.

Beliau perlu terus memastikan keadaan kekal terjaga dan berada di bawah kawalan sedang beratus-ratus orang datang memberikan penghormatan terakhir mereka kepada perdana menteri pengasas Singapura itu.

Peranan itu cukup mencabar tetapi ia membolehkan SLTC Helmi untuk bermuhasabah, terutama apabila menyaksikan sesetengah generasi lebih berusia menangis kerana mereka menghargai apa yang dilakukan oleh mendiang Lee buat Singapura.

"Ia mengukuhkan rasa tanggungjawab dan khidmat kepada negara...bahawa di penghujung kerjaya saya dalam perkhidmatan awam, saya berikthiar untuk membuat perubahan dalam kehidupan rakyat, walau sekecil mana pun ia," SLTC Helmi memberitahu majalah Pioneer, terbitan Kementerian Pertahanan (MINDEF), dalam satu wawancara.

Menyuntik kesan positif ke dalam kehidupan masyarakat, membimbing dan memberi mereka tunjuk ajar - inilah yang mendorong SLTC Helmi untuk menjadi askar sepenuh masa pada 2004.

Sebagai seorang komander platun yang muda sewaktu tempoh Perkhidmatan Negaranya (NS), SLTC Helmi menyedari betapa beliau berasa seronok membimbing askar-askarnya.

Sedari itu, lelaki berusia 38 tahun itu menggalas pelbagai pelantikan termasuk menjadi pegawai staf di kedua-dua Askar G6 dan Briged Infantri Singapura ketiga (3 SIB) serta Pegawai Pemerintah (CO) Batalion keempat Rejimen Infantri Singapura (4 SIR), menurut rencana Pioneer.

Malah, bapa kepada seorang anak itu juga sudahpun berkhidmat dengan tiga Presiden selaku adikong kehormat selama 11 tahun, termasuk kepada mendiang mendiang S. R. Nathan, Encik Tony Tan dan Presiden Halimah Yacob.

Pada April 2020, SLTC Helmi dipinjamkan ke Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), di mana beliau menyandang dua jawatan sebagai timbalan pengarah bahagian industri dan timbalan pengarah bahagian perancangan strategik.

Sepanjang tempoh khidmatnya selama dua tahun di MCI, SLTC Helmi berpeluang untuk menggubal dasar-dasar infokomunikasi, teknologi dan media MCI selain mengembangkan bakat teknologi di Singapura.

Beliau juga belajar mendakapi trend teknologi digital yang baru muncul seperti data keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) serta melihat bagaimana ia direalisasikan menjadi keupayaan yang perlu disediakan oleh Singapura.

BENTANGKAN ASAS BUAT BAKAL NSF

Hari ini (1 Jul) SLTC Helmi dinaikkan pangkat kepada Kolonel.

Menurut majalah Pioneer, beliau dalam kalangan 778 kakitangan berseragam dari Ibu Pejabat, Askar, Tentera Laut, Angkatan Udara dan Gabungan MINDEF yang dinaikkan pangkat dalam satu upacara yang diadakan di MINDEF pada Khamis (30 Jun).

Pertukaran pangkat itu berkuat kuasa 1 Julai.

SLTC Helmi memberitahu Pioneer beliau menganggap kenaikan pangkat itu sebagai satu peluang untuk melaksanakan perubahan pada tahap yang jauh lebih besar dan membentangkan asas bagi generasi Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) akan datang.

Bermula 7 Julai, SLTC Helmi akan menggalas tanggungjawab sebagai Komander Briged Infantri Singapura kedua (2 SIB) di mana beliau melatih kedua-dua unit aktif dan anggota kerahan NS.

SLTC Helmi sedang melihat bagaimana beliau boleh membantu meningkatkan pengalaman para askar lebih-lebih lagi beliau mempunyai pendedahan kepada pelbagai perubahan digital sepanjang berkhidmat dengan MCI.

"Saya menyasarkan untuk mencipta sebuah budaya inovasi dari bawah bagi meningkatkan pengalaman para anggota askar. Saya mahu meneliti semula cara kami mengendalikan operasi kami secara harian dan memanfaatkan teknologi digital untuk memudahkan proses semudah mendaftarkan diri masuk dan keluar kem," beliau memberitahu Pioneer.

SLTC Helmi juga teruja untuk berinteraksi dengan Anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) buat julung-julung kalinya dalam pelantikan barunya itu.

"Sewaktu saya berkhidmat di MCI, saya melihat bagaimana rakan kerja NSman saya perlu mengimbangi antara kerja, keluarga dan NS. Di sebalik semua tanggungjawab itu, komitmen mereka kepada NS dan pertahanan Singapura amat tinggi jadi saya sangat menghargai mereka."

Inilah sebabnya mengapa SLTC Helmi berharap dapat membawa perbezaan dalam kehidupan askar NSF, membimbing dan mempengaruhi mereka secara positif seberapa boleh, kerana mereka mewakili generasi NSmen masa hadapan.
 
Sumber : Sumber Web/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan