Coklat Kinder Surprise dari Belgium ditarik balik; mungkin dicemari salmonella
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik coklat Kinder Surprise kerana ia mungkin mengandungi Salmonella.
Demikian menurut SFA pada Rabu (6 Apr).
Salmonella ialah bakteria patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti demam, kekejangan perut dan cirit-birit.
Tindakan itu menyusuli langkah Penguasa Keselamatan Makanan Ireland yang memberi arahan untuk menarik balik beberapa kelompok produk daripada Belgium itu.
Memandangkan produk-produk terbabit diimport masuk ke Singapura, SFA menyatakan ia sudah memberi arahan kepada syarikat import, Redmart, untuk menarik balik produk berkenaan.
Produk daripada Belgium itu mempunyai "tarikh baik sebelum" antara 11 Julai dengan 7 Oktober 2022.
Para pelanggan yang sudah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya tidak makannya, menurut SFA.
Mereka yang sudah memakan produk tersebut dan prihatin tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan, tambah SFA.
Pada Selasa (5 Apr), syarikat manis-manisan Itali, Ferrero, menyatakan ia menarik balik telur coklat Kinder di beberapa negara Eropah kerana disyaki berhubung kait puluhan kes Salmonella kurang dua minggu sebelum Easter.
Ferrero memberitahu AFP bahawa produk tersebut ditarik balik sebagai langkah pencegahan.
Pada Rabu (6 Apr), agensi kesihatan Eropah menyatakan ia sedang menyiasat puluhan kes yang dilaporkan dan disyaki mengandungi salmonella yang dikaitkan dengan memakan coklat di sekurang-kurangnya sembilan negara.
Namun, ia tidak menyebut Ferrero atau mana-mana syarikat lain dalam kenyataan tersebut, tetapi memberi amaran bahawa kebanyakan kes-kes yang dilaporkan dikesan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.
Agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan ia sedang menyiasat, bersama Penguasa Keselamatan Makanan Eropah, 134 kes yang disahkan atau disyaki mengandungi salmonella.
Produk tersebut ditarik balik di beberapa negara, tersebut Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg dan Britain, menurut agensi EU tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.