Skip to main content

Singapura

COI SingHealth: Peranan pemimpin IHiS dalam MOH mungkin cetuskan percanggahan kepentingan

Pihak-pihak pengurusan kanan dalam Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu juga memainkan peranan penting dalam Kementerian Kesihatan, sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada ia mungkin mencetuskan percanggahan kepentingan di mana pemeriksaan tidak dilakukan bagi memastikan agar arahan dipatuhi.

Anggaran Waktu Membaca:
COI SingHealth: Peranan pemimpin IHiS dalam MOH mungkin cetuskan percanggahan kepentingan

Gambar fail poliklinik SingHealth.

Diterbitkan : 02 Nov 2018 10:57PM Dikemas Kini : 02 Nov 2018 11:02PM

SINGAPURA: Pihak-pihak pengurusan kanan dalam Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) juga memainkan peranan penting dalam Kementerian Kesihatan (MOH), sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada ia mungkin mencetuskan percanggahan kepentingan di mana pemeriksaan tidak dilakukan bagi memastikan agar arahan dipatuhi.

Jawatankuasa Siasatan (COI) yang ditugaskan untuk meneliti serangan siber SingHealth difahamkan hari ini (2 Nov) bahawa mereka yang memegang dua jawatan itu termasuklah CEO IHiS, Bruce Liang, yang juga merupakan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat MOH.

Pengarah Urus Tadbir Keselamatan Siber IHiS, Chua Kim Chuan, juga menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat MOH.

Pengarah Urusan MOH Holdings, Goh Aik Guan, akur bahawa terdapat "kemungkinan" percanggahan kepentingan kerana "pihak yang melaksanakan (dasar-dasar) juga adalah pihak yang mengisytiharkannya".

Encik Goh berkata demikian semasa menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh Peguam Cara Negara Kwek Mean Luck mengenai sama ada terdapat percanggahan kepentingan semasa "memainkan dua peranan" itu.

Kedua-dua pertubuhan bagaimanapun memahami bahawa risiko itu memang ada, kata Encik Goh. Oleh itu, ia sudah menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan.

Misalnya, Encik Liang dan Encik Chua harus memberikan laporan kepada para pegawai MOH yang lain. Selain itu, terdapat juga pelbagai langkah bagi memastikan agar arahan dilaksanakan dan arahan utama dari kementerian itu juga dipantau.

Related article image
Gambar Pengarah Urusan MOH Holdings, Goh Aik Guan. 

Gambar Pengarah Urusan MOH Holdings, Goh Aik Guan. 

MOH Holdings adalah syarikat pemegangan Pemerintah bagi tiga kelompok jagaan kesihatan awam Singapura iaitu Sistem Kesihatan Universiti Nasional, Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional dan Sistem Kesihatan Singapura. IHis mengendalikan sistem-sistem IT bagi ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan itu. 

Semasa perbicaraan tersebut, Encik Goh juga menarik perhatian mengenai manfaat "memainkan dua peranan".

Para eksekutif kanan boleh memastikan agar perancangan dan pelaksanaan IHis adalah sejajar dengan strategi keselamatan siber dan IT MOH serta program-program dan dasar-dasarnya, kata beliau.

Malah, ia juga membolehkan MOH untuk menerima maklum balas mengenai bagaimana program-programnya dilaksanakan.

Merujuk kepada Encik Chua, yang peranannya di IHis memerlukan beliau membantu memperkenalkan dasar-dasar keselamatan siber kepada pelbagai kelompok jagaan kesihatan, Encik Goh berkata beliau juga perlu menjadi seorang wakil MOH untuk mendapatkan perspektif yang lebih luas mengenai isu keselamatan siber.

HAMBATAN DAN CABARAN MEMPERBAIKI SISTEM IT

Encik Goh juga mengongsi pandangan beliau bahawa langkah-langkah yang diambil oleh para pemilik sistem-sistem IT untuk mencegah risiko "tidak selalunya 100 peratus sempurna". Para pemilik harus menimbangkan tahap risiko yang sesuai bagi pertubuhan itu dan "permintaan sumber yang bersaing, kekangan prasarana dan perintah operasi," kata beliau.

Merujuk kepada usaha memperbaiki sofwe sebagai contoh, Encik Goh berkata secara teknikal, ia tidak munasabah untuk memperbaiki satu sistem tanpa menjejas lapisan aplikasi dan peralatan yang lain kerana kebanyakan sistem infrastruktur IT adalah rumit.

"Sistem-sistem IT dalam institusi-institusi jagaan kesihatan awam juga perlu beroperasi secara berkesan dan selama 24 jam setiap hari. Oleh itu, terdapat sedikit masa untuk menjadualkan masa henti untuk langkah-langkah IT dilaksanakan," kata Encik Goh.

Perbicaraan COI dijangka akan disambung pada Isnin (5 Nov). Beberapa perbicaraan akan diadakan secara tertutup bagi melindungi keselamatan negara memandangkan bukti yang diterima adalah sensitif. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita