COI: Penggodam sasar nombor kad pengenalan, butiran pesakit SingHealth
Serangan siber terhadap data SingHealth disasarkan pada nombor kad pengenalan dan perincian para pesakit syarikat jagaan kesihatan itu termasuk Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
SINGAPURA: Serangan siber terhadap data SingHealth disasarkan pada nombor kad pengenalan dan perincian para pesakit syarikat jagaan kesihatan itu termasuk Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
Hal itu didedahkan pada hari kedua sesi Jawatankuasa Siasatan mendengar keterangan mengenai kejadian tersebut. Tiga lagi saksi dari Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHIS) memberikan keterangan mereka.
Saksi pertama ialah Encik Chai Sze Chun, Penolong Ketua Penganalisis pasukan yang menyediakan khidmat sokongan penghalisan dan operasi bagi pangkalan data SingHealth. Encik Chai berkata beliau menyedari tentang sesuatu pertanyaan yang agak mencurigakan pada 4 Julai.
Seseorang, katanya, bertanyakan tentang beberapa soalan mengenai data termasuk maklumat kad pengenalan seorang VVIP yang ternyata ialah PM Lee.
Encik Chai kemudian cuba mengesan stesen kerja tempat asal pertanyaan-pertanyaan itu.
Seperti dua saksi yang memberi keterangan pada Jumaat lalu (21 Sep), Encik Chai berkata beliau tidak tahu tentang rangka kerja rasmi bagi melaporkan insiden keselamatan. Beliau juga tidak menerima sebarang latihan mengenainya.
Bidang tugas utama Encik Chai adalah untuk mengesan masalah yang dihadapi pengguna terakhir, bukan memantau pelanggaran dalam soal keselamatan.
Selepas keterangannya itu, Peguam Cara Negara Kwek Mean Luck berkata Encik Chai sudah menunjukkan inisiatif untuk cuba menyiasat pertanyaan-pertanyaan yang agak luar biasa, walaupun beliau tidak perlu melakukannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.