Skip to main content

Singapura

COE Kategori Terbuka cecah paras rekod lebih S$110,000; premium semua kategori meningkat

Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) mencecah paras rekod dalam bidaan terkini pada Rabu (6 Jul), dengan harga bagi Kategori Terbuka menjulang kepada S$110,524.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) mencecah paras rekod dalam bidaan terkini pada Rabu (6 Jul), dengan harga bagi Kategori Terbuka menjulang kepada S$110,524.

Jumlah itu melangkaui rekod yang dicatatkan 28 tahun lalu apabila harga bagi kategori tersebut, yang dahulunya digolongkan sebagai Kategori Keempat, mencapai S$110,500 pada Disember 1994.

Dalam bidaan COE terkini, harga meningkat bagi semua kategori kenderaan.

Bagi Kategori A, atau kereta sehingga 1,600cc dan 130bhp, ia ditutup pada S$78,001, naik berbanding S$74,989 dalam bidaan lalu.

Sementara itu, premium bagi kereta-kereta lebih besar dan berkuasa tinggi dalam Kategori B meningkat kepada S$107,800 dari S$106,001.

Harga COE untuk Kategori Terbuka, yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar, melonjak dari S$104,400 kepada S$110,524.

Premium motosikal pula ditutup pada S$10,889, naik sedikit dari S$10,302 dalam bidaan sebelumnya.

COE bagi kenderaan komersial, yang termasuk kenderaan muatan dan bas, naik kepada S$54,001 berbanding S$53,011 dalam bidaan lalu.

Secara keseluruhannya, 2,863 bidaan diterima dengan kuota sebanyak 2,023 COE diperuntukkan.

Harga COE menunjukkan trend meningkat sejak beberapa bidaan lalu, dengan premium bagi Kategori B dan Kategori Terbuka menjangkaui paras S$100,000 pada 8 Jun.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita