Skip to main content

Singapura

COE Kategori Terbuka catat paras rekod S$114,001; premium semua kategori meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
COE Kategori Terbuka catat paras rekod S$114,001; premium semua kategori meningkat

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi Kategori Terbuka mencecah paras rekod pada Rabu (20 Jul), menjulang kepada S$114,001.

Ini sekali gus memecahkan rekod harga S$110,524 dalam bidaan lalu yang ditutup pada 6 Julai.

Jumlah yang dicatat pada 6 Julai itu melangkaui rekod yang dicatatkan 28 tahun lalu apabila harga bagi kategori tersebut, yang dahulunya digolongkan sebagai Kategori Keempat, mencapai S$110,500 pada Disember 1994.

COE bagi Kategori Terbuka boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar.

Premium COE juga meningkat bagi kategori-kategori lain.

Bagi Kategori A, atau kereta sehingga 1,600cc dan 130bhp, premium ditutup pada S$78,899, naik berbanding S$78,001 dalam bidaan lalu.

Sementara itu, premium bagi kereta-kereta lebih besar dan berkuasa lebih tinggi dalam Kategori B meningkat kepada S$110,003 dari S$107,800.

Premium motosikal pula ditutup pada S$10,910, naik sedikit dari S$10,889 dalam bidaan sebelumnya.

COE bagi kenderaan komersil, termasuk kenderaan muatan dan bas, meningkat kepada S$54,889 berbanding S$54,011 dalam bidaan lalu.

Secara keseluruhannya, 2,750 bidaan diterima dengan kuota sebanyak 2,012 COE diperuntukkan.

Harga COE menunjukkan trend meningkat sejak beberapa bidaan lalu, dengan premium bagi Kategori B dan Kategori Terbuka menjangkaui paras S$100,000 pada 8 Jun.
Sumber : CNA/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita