Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB siasat bagaimana pegawai tangkap, soal siasat suspek dadah berusia 17 tahun yang mati 'bunuh diri'

Biro Narkotik Pusat (CNB) sedang menyiasat keadaan berhubung penangkapan seorang suspek berusia 17 tahun, yang kemudian mati setelah jatuh dari tempat tinggi selepas dia didakwa atas kesalahan mengedar dadah. 

Anggaran Waktu Membaca:
CNB siasat bagaimana pegawai tangkap, soal siasat suspek dadah berusia 17 tahun yang mati 'bunuh diri'

(Gambar hiasan)

Diterbitkan : 14 Oct 2021 11:00AM Dikemas Kini : 14 Oct 2021 11:02AM

SINGAPURA; Biro Narkotik Pusat (CNB) sedang menyiasat keadaan berhubung penangkapan seorang suspek berusia 17 tahun, yang kemudian mati setelah jatuh dari tempat tinggi selepas dia didakwa atas kesalahan mengedar dadah.

Siasatan dijangka selesai dijalankan sebelum akhir Oktober, menurut CNB dalam satu catatan Facebook pada Rabu (13 Okt). Ia menambah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berhasrat untuk mengongsikan dapatan itu kepada umum.

"Sebaik sahaja siasatan selesai, MHA juga akan mengambil langkah-langkah lanjutan sewajarnya," menurut CNB.

Agensi itu berkata demikian setelah seorang pengguna Instagram, Cecilia Ow, memuat naik catatan tentang bagaimana anak lelakinya, Justin, meninggal dunia setelah jatuh dari tempat tinggi pada 16 September, beberapa bulan selepas dia ditangkap pada 3 Februari bagi kesalahan berkaitan dadah.

Catatan Instagram pada Selasa (12 Okt) itu mengandungi satu petikan surat yang dikirimkan Cik Ow kepada Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada 1 Oktober. Dalam surat itu, beliau menggambarkan bagaimana Justin didakwa dilayan dengan buruk semasa proses siasatan.

Dalam surat tersebut, Cik Ow juga menyebut tentang bagaimana beliau kehilangan anak lelakinya akibat bunuh diri. Polis sedang menyiasat kematian Justin, menurut CBN dalam catatan Facebooknya.

"Saya percaya pegawai CNB dan sistem pendakwaan yang menyebabkan Justin mati," tulis Cik Ow. "Trauma mental, psikologi dan emosi terhadapnya adalah kejam, tidak perlu dan tidak sensitif."

Pada Rabu, CNB memaklumkan bahawa "kenyataan sudah dibuat secara terbuka" tentang bagaimana Justin diberkas dan disoal siasat. Dakwaan-dakwaan itu juga sedang disiasat sepenuhnya.

Encik Shanmugam sudah menghubungi ibu Justin secara peribadi pada 1 Oktober untuk meyakinkannya bahawa satu semakan teliti berhubung perkara itu akan dijalankan, menurut CNB.

"Ibu Justin juga diberikan maklumat cara menghubungi Menteri Shanmugam serta Menteri Negara Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim. Cik Ow diberitahu beliau boleh menghubungi kedua-dua menteri itu secara langsung, pada bila-bila masa, berhubung perkara ini," tambahnya.

"CNB juga sudah mengaturkan sokongan psikologi bagi beliau semasa tempoh sukar ini."

DAKWAAN TENTANG APA YANG BERLAKU

Dalam suratnya, Cik Ow mendakwa "enam hingga sembilan" pegawai CNB mengejar Justin sebelum memberkasnya pada 3 Februari. Beliau menambah mereka menggeledah bilik Justin tetapi tidak menjumpai apa-apa.

Justin disoal siasat dalam cara "kasar", ditahan dalam keadaan "kurang sesuai" dan tidak dibenarkan menghubungi keluarganya, kata beliau.

Menurut CNB, Justin disyaki mengedar dadah terkawal Kelas A secara online.

Dia ditangkap di Serangoon North Ave 4 dan para pegawai menemui dadah dari tempat lain di kawasan itu, menurut CNB.

"Bukti menunjukkan dadah itu milik Justin dan ia bertujuan dijual," tambah agensi tersebut.

Menurut CNB lagi, Justin dibebaskan dengan ikat jamin pada hari berikutnya, 4 Februari.

Pejabat Peguam Negara kemudian memutuskan pada Jun bahawa Justin didakwa atas kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, menurut CNB.

Menurut Cik Ow, pada 12.30 tengah hari tanggal 23 Jun, Justin melaporkan diri ke ibu pejabat CNB "tanpa pengetahuan" bahawa dia akan didakwa.

Cik Ow mendakwa Justin ditahan dalam sebuah lokap sejuk, dilarang daripada melakukan tekan tubi atau "push-up" untuk memanaskan badannya dan hanya dibenarkan diikat jamin pada 8.00 malam.

CNB menyatakan Justin dibebaskan pada hari yang sama selepas dia dikenakan tuduhan.

"Biasanya, individu yang didakwa atas kesalahan berkaitan dadah tidak akan dibebaskan dengan ikat jamin sehingga dihadapkan ke mahkamah. Namun, CNB membuat pengecualian dan membebaskan Justin selepas dia dikenakan tuduhan pada 23 Jun kerana dia berusia 17 tahun," jelas CNB.

Justin kemudian didakwa di mahkamah pada 24 Jun dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Cik Ow berkata Justin "tidak seperti dirinya" selepas pertemuan dengan pegawai CNB. Dia mengurungkan diri di dalam bilik sepanjang hari dan hanya keluar untuk makan atau menggunakan bilik air. Justin juga tidak lagi bercakap dengan anggota keluarganya, tidak boleh menumpukan perhatian kepada pelajarannya serta kerap mengalami mimpi ngeri selepas "penangkapan kejamnya", tambah beliau.

"Ahli psikologinya memberitahu saya bahawa dia menderita gangguan tekanan pasca trauma," tulis Cik Ow sambil menambah bahawa Justin bertemu dengan seorang pakar psikologi di Institut Kesihatan Mental (IMH) dari Februari sehingga hari dia ditemui mati.

CNB menyatakan ia maklum tentang kematian Justin selepas dia jatuh dari tempat tinggi. Ia menambah polis juga sedang menyiasat perkara itu. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan