CNB rampas dadah S$70,000, tangkap 3 suspek dekat Outram
Tiga suspek pesalah dadah ditangkap Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Isnin (24 Jun) semasa satu serbuan dekat Outram.
Bahan dadah yang dirampas semasa operasi Biro Narktotik Pusat. (Gambar: CNB)
SINGAPURA: Tiga suspek pesalah dadah ditangkap Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Isnin (24 Jun) semasa satu serbuan dekat Outram.
CNB merampas 730 gram heroin dan juga dadah-dadah lain seperti bahan-bahan psikoaktif baru, ganja, Ice, kokain, ketamin, pil Erimin-5, pil ecstasy dan sebotol metadon.
Dadah-dadah itu dianggarkan bernilai sekitar S$70,000, menurut CNB dalam kenyataan medianya pada Selasa (25 Jun).
Suspek-suspek itu diberkas selepas para pegawai CNB dikerah ke York Hill pada lewat petang Isnin untuk memantau seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki mengedar dadah. Para pegawai melihat suspek itu memasuki kereta yang dipandu seorang lagi suspek lelaki berusia 45 tahun.
Suspek pengedar dadah itu kemudian turun dari kereta tersebut di Selegie Road. Pegawai-pegawai CNB memberkasnya sejurus selepas itu dan menemui sejumlah kecil Ice dari beg sandangnya.
Mereka kemudian menyerbu tempat persembunyiannya yang terletak di kawasan itu, di mana para pegawai menemui ganja, Ice, kokain, ketamin dan dadah-dadah lain.
Seorang suspek wanita pesalah dadah berusia 34 tahun juga diberkas, tambah CNB.
Suspek berusia 41 tahun itu kemudian dibawa ke alamat rasminya di York Hill di mana lebih banyak dadah ditemui.
Suspek yang memandu kereta pula ditangkap oleh sekumpulan pegawai CNB berasingan yang mengekorinya hingga ke Changi Road lalu menahannya selepas dia keluar dari kereta.
"Siasatan ke atas kegiatan dadah kesemua suspek sedang dijalankan," menurut CNB sambil menambah 730 gram heroin yang dirampasnya cukup untuk memenuhi ketagihan sekitar 347 penagih selama seminggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.