Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB rampas dadah bernilai S$304,000, termasuk 8kg ganja

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pelbagai jenis dadah termasuk lebih 8 kilogram (kg) dirampas oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) semasa satu operasi yang dilancarkan minggu ini.

Dadah yang dirampas, termasuk heroin, dianggarkan bernilai sekitar S$304,400, menurut CNB pada Khamis (1 Dis).

Enam individu, berusia antara 24 hingga 54 tahun juga ditangkap dalam operasi yang dijalankan pada Selasa (29 Nov) dan Rabu (30 Nov).

Secara keseluruhan, pemeriksaan oleh CNB menemui seumlah kira-kira 8,194 gram (g) ganja, 415g heroin, 30 lembar asid lysergic diethylamide (LSD), sekitar 1,152kg bahan dipercayai dadah terkawal serta 1,108 pil Erimin-5.

PENANGKAPAN DI HAVELOCK ROAD

Seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang wanita berumur 25 tahun ditangkap pada Selasa berhampiran Havelock Road.

Sekitar 4.9kg ganja, dua pil Erimin-5 dan 397g bahan dipercayai dadah terkawal dirampas daripada kenderaan yang dinaiki mereka, menurut CNB.

Para pegawai CNB kemudian melakukan pemeriksaan tubuh ke atas kedua-duanya dan menemui kira-kira 10g bahan dipercayai dadah terkawal pada wanita itu.

PENANGKAPAN DI UPPER PAYA LEBAR ROAD

Berikutan penangkapan pasangan itu, mereka dibawa ke tempat persembunyian mereka yang terletak di sebuah kondominium berhampiran Upper Paya Lebar Road.

Para pegawai CNB memberkas seorang lelaki berusia 46 tahun dan seorang wanita berumur 32 tahun di unit kediaman tersebut.

Suspek kelima, lelaki berusia 54 tahun, juga ditangkap apabila dia pulang ke unit itu pada malam berkenaan.

"Sekitar 3,289g ganja, 382g heroin, 1,106 pil Erimin-5, 30 lembar LSD, 723g bahan dipercayai dadah terkawal dan pelbagai peralatan dadah dirampas dari unit itu," menurut CNB.


Pegawai melakukan pemeriksaan tubuh ke atas para suspek dan menemui sekitar 14g ganja, 33g heroin serta 7g bahan dipercayai dadah terkawal pada lelaki berusia 54 tahun itu.

Suspek keenam, lelaki berusia 41 tahun, ditangkap di kolong blok kondominium tersebut.

Para pegawai CNB kemudian mengiringi suspek keenam ke tempat tinggalnya berhampiran Anchorvale Road pada pagi Rabu, di mana kira-kira 15g bahan dipercayai dadah terkawal dirampas.

CNB menyatakan siasatan terhadap kegiatan dadah membabitkan suspek-suspek yang ditangkap, kesemuanya warga Singapura, sedang dijalankan.

"Rampasan sebanyak 8,194g ganja boleh memenuhi ketagihan sekitar 1,160 penyalah guna ganja selama seminggu, manakala rampasan sebanyak 415g heroin boleh memuaskan ketagihan sekitar 200 penyalah guna heroin selama seminggu," tambah CNB.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan