Skip to main content

Singapura

CNB rampas dadah bernilai lebih S$128,000; 3 lelaki diberkas

Tiga lelaki diberkas dalam serbuan dadah berasingan pada Khamis (14 Ogos) dan dadah bernilai lebih S$128,000 telah dirampas, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Jumaat (15 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
CNB rampas dadah bernilai lebih S$128,000; 3 lelaki diberkas

Dadah yang dirampas semasa operasi Biro Narkotik Pusat (CNB) berhampiran Jalan Kayu dan Bukit Batok West Avenue 9 pada 14 Ogos 2025. (Gambar: CNB)

SINGAPURA: Tiga lelaki diberkas dalam serbuan dadah berasingan pada Khamis (14 Ogos) dan dadah bernilai lebih S$128,000 telah dirampas, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Jumaat (15 Ogos).

Anak-anak kepada dua daripada lelaki-lelaki itu berada di tempat kejadian semasa operasi antidadah dijalankan, menurut kenyataan media CNB.

Sekitar 1,050g Ice, 100 tablet Erimin-5, 9g Ecstasy dan pelbagai peralatan dadah telah dirampas.

Seorang lelaki warga Singapura berusia 42 tahun telah ditangkap pada pagi Khamis di kediamannya berhampiran Tampines Street 86 atas kesalahan dadah, dedah CNB.

Anak perempuannya yang berusia 10 tahun berada di ruang tamu, di mana pelbagai peralatan dadah ditemui di bawah meja kopi.

Pada petang Khamis, para pegawai CNB menyerbu sebuah lagi kediaman berhampiran Bukit Batok West Avenue 9, di mana seorang lelaki warga Singapura berusia 36 tahun diberkas kerana disyaki mengedar dadah.

Isteri dan empat anaknya, berumur antara satu hingga lapan tahun, berada dalam unit itu dan kira-kira 892g Ice dan 100 tablet Erimin-5 telah dirampas.

Sekitar masa yang sama, seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun turut ditahan di sebuah kediaman berhampiran Jalan Kayu kerana disyaki mengedar dadah. Sekitar 158g Ice dan 9g Ecstasy ditemui dalam unit itu.

Siasatan terhadap aktiviti dadah suspek yang diberkas sedang dijalankan, menurut CNB.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya CNB Chang Gim Fook berkata CNB memandang serius terhadap sebarang situasi di mana individu, terutamanya kanak-kanak, terdedah kepada dadah dan persekitaran yang tidak selamat.

“CNB tidak akan teragak-agak untuk bertindak pantas untuk membanteras aktiviti dadah dan memastikan masyarakat kita selamat.”

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, ia adalah satu kesalahan yang menyalahi undang-undang bagi sesiapa sahaja untuk mengedar dadah terkawal, menawarkan untuk mengedar dadah terkawal, atau melakukan atau menawarkan untuk melakukan sebarang tindakan sebagai persediaan kepada atau untuk tujuan mengedar dadah terkawal.

Ini tertakluk ke atas sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak mereka sendiri atau bagi pihak orang lain - sama ada penerima berada di Singapura atau tidak.

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 250g methamphetamine boleh dikenakan hukuman mati.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita