Skip to main content

Singapura

CNB lancar buku kanak-kanak baru tentang bahaya orang tidak dikenali

Anggaran Waktu Membaca:
CNB lancar buku kanak-kanak baru tentang bahaya orang tidak dikenali

(Gambar: Biro Narkotik Pusat (CNB))

SINGAPURA: Sebuah buku baru dilancarkan pada Rabu (26 Jan) yang bertujuan untuk memperkenalkan tajuk "stranger danger" atau bahaya orang-orang yang tidak dikenali kepada kanak-kanak prasekolah dan melibatkan mereka dalam cara-cara menolak jika diberi bahan yang tidak diketahui. 

Buku kanak-kanak interaktif berjudul "Be Careful, Max!" itu reka bentuk unutk digunakan semasa sesi-sesi bercerita secara interaktif, dengan watak-watak haiwan dan ciri-ciri "pop-up". 

Ia diterbitkan pada Julai tahun lalu, hasil kerjasama antara Biro Narkotik Pusat (CNB) dan tiga orang siswazah dari Sekolah Reka Bentuk dan Media di Politeknik Nanyang iaitu Natalie Tan, Rachel Moo dan Sophie Lim. 

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim merasmikannya bersama Penolong Ketua Pegawai Eksekutif PCF Sparkletots Tan Lee Jee, hari ini. 

Buku "Be Careful, Max!" itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan CNB untuk menyediakan bahan-bahan pendidikan  tentang pencegahan dadah yang sesuai untuk pembaca lebih muda. Lantaran itu, ia dilakarkan dengan kerjasama Cabang Pendidikan Prasekolah di Kementerian Pendidikan (MOE). 

Walaupun buku keempat kanak-kanak terbitan CNB itu, tidak mengandungi sebarang rujukan kepada dadah, reben antidadah dan watak wira CNB, 'Captain Drug Buster', ditonjolkan dalam karya seni itu untuk menekankan lagi mesej antidadah. 

Pelancarannya yang disiarkan langsung secara maya kepada orang ramai termasuk satu sesi bercerita yang dirakam sebelum itu bersama guru-guru PCF Sparkletots dan kanak-kanak tadika. 

Ia juga menampilkan persembahan tarian dan nyanyian kanak-kanak berlatar belakangkan jingle antidadah. Kanak-kanak itu juga menyertai aktiviti melipat reben origami antidadah. 

Bercakap di acara itu, Profesor Madya Faishal menekankan peranan ibu bapa dan pendidik dalam membimbing kanak-kanak agar menjauhi dadah dan perkara buruk lain yang membahayakan.

Tambahnya lagi, pendidikan pencegahan kekal sebagai benteng utama melawan dadah, dan sokongan keluarga serta masyarakat boleh membantu anak muda untuk menjalani gaya hidup yang sihat dan positif bebas daripada dadah. 

"Kami berharap bahawa kanak-kanak dan murid prasekolah bukan sahaja merasa seronok semasa membaca buku itu, namun pada masa yang sama, belajar untuk lebih berhati-hati, memupuk tabiat yang baik, dan elak daripada melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan tidak sihat ketika mereka membesar," katanya. 

Lebih 330 salinan buku itu sudah diagihkan kepada beberapa pengendali prasekolah dan perpustakaan masyarakat. 

Versi online "Be Careful, Max!" juga boleh didapatkan daripada laman web CNB. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita