CNB bantu banteras sindiket seludup dadah rentas sempadan; lebih 10kg Ice dirampas
Biro Narkotik Pusat (CNB) baru-baru ini membantu membanteras sindiket pengedaran dadah rentas sempadan, sambil bekerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Brunei, New Zealand dan Australia.
Bungkusan yang cuba dihantar ke New Zealand didapati mengandungi lebih 10kg methamphetamine. (Gambar: CNB)
Operasi itu berjaya dilaksanakan dengan kerjasama erat dan pertukaran maklumat yang tepat pada masanya antara agensi-agensi tersebut, menurut CNB dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (22 Sep).
Agensi-agensi lain yang terlibat ialah Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat, Biro Kawalan Narkotik Brunei Darussalam (NCB), Perkhidmatan Kastam New Zealand, Polis New Zealand, Polis Persekutuan Australia (AFP), dan Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF).
Pada April 2025, CNB menerima maklumat mengenai kiriman bungkusan yang disyaki mengandungi dadah terkawal.
Kiriman bungkusan itu, membuat persinggahan di Singapura, dan dipercayai berasal dari Amerika Syarikat dan menuju ke New Zealand.
Bungkusan-bungkusan itu telah dipintas dan dirampas oleh CNB dan didapati mengandungi lebih 10kg Ice, atau methamphetamine. Siasatan susulan dan pemantauan lanjut oleh CNB mengenal pasti bungkusan serupa yang menuju ke New Zealand dan Australia.
Bertindak atas maklumat risikan yang diterima dari CNB, kastam New Zealand memintas dua bungkusan dadah pada April dan Jun, membawa kepada rampasan sebanyak 10kg methamphetamine. Ia dianggarkan bernilai kira-kira NZ$3 juta (S$2.26 juta) di New Zealand.
“Rampasan ini disyaki milik sindiket yang sama dengan rampasan CNB dan Kastam New Zealand.
"Modus operandi mereka serupa - menyorok dadah dalam peranti elektronik dan menyeludupnya melalui perkhidmatan kurier dan pejabat maya."
Perkongsian risikan tambahan dengan AFP dan ABF mendorong pihak berkuasa Australia untuk memintas dan merampas beberapa konsainan pada Mei tahun ini. Konsainan itu mengandungi kira-kira 40kg methamphetamine yang dihantar ke Australia.
Dadah seludup itu disembunyikan di dalam perabot, penghantaran kopi campuran dan mustard.
Sekiranya dadah itu sampai ke Australia, ia dianggarkan bernilai jalanan A$37 juta (S$31.28 juta).
“Sindiket dadah antarabangsa itu kini sedang disiasat di Amerika Syarikat, dan DEA sedang menyiasat semua petunjuk untuk mengenal pasti suspek terbabit, termasuk sumber bekalan mereka,” menurut pihak berkuasa.
Berdasarkan siasatan setakat ini, DEA percaya methamphetamine itu berasal dari Mexico dan diimport ke Amerika untuk dihantar ke pasaran yang lebih menguntungkan di rantau Asia Pasifik.
Pihak berkuasa berkata "hasil positif" kerjasama berbilang hala itu menekankan betapa kukuhnya kerjasama dalam kalangan agensi terlibat dan komitmen bersama mereka untuk membanteras ancaman pengedaran dadah yang terancang dan semakin meningkat di peringkat global.
"Agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang akan terus mengukuhkan perkongsian ini, mempertingkatkan kerjasama operasi dan pertukaran maklumat risikan untuk terus menangani rangkaian dan operasi dadah rentas sempadan yang semakin berleluasa."
Ketua Divisyen DEA Asia Pasifik John Scott berkata bahawa agensi itu akan "terus memanfaatkan perkongsian antarabangsa untuk memerangi kartel-kartel Mexico seperti Sinaloa dan CJNG yang cuba menebarkan sayap ke Asia Pasifik dan cuba memanfaatkan pasaran dadah yang lumayan di Asia dan Oceania".
“Sindiket dadah yang cuba mengeksploitasi infrastruktur dan ketersambungan Singapura sebagai hab pemindahan dan logistik utama tidak akan mendapati kami menjadi tempat selamat atau laluan selamat untuk aktiviti haram mereka, tegas Timbalan Pengarah Operasi CNB Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang.
Polis New Zealand berkata bahawa kerjasama rentas sempadan itu telah mengukuhkan perkongsian yang "dinilai dan berkesan dalam memastikan masyarakat kita selamat", manakala pihak berkuasa Australia berkata bahawa hasilnya "menunjukkan betapa kritikal peranan maklumat perisikan" dan kekuatan perkongsiannya dengan penguatkuasaan undang-undang domestik dan antarabangsa serta agensi keselamatan sempadan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.