Skip to main content

Singapura

CNA muncul jenama berita paling dipercayai di SG buat 6 tahun berturut-turut: Institut Reuters

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: CNA, kelolaan Mediacorp, disenaraikan sebagai jenama berita yang paling dipercayai di Singapura untuk tahun keenam berturut-turut.

Demikian menurut satu laporan yang diterbitkan Reuters Institute for Journalism di Universiti Oxford di United Kingdom pada Isnin (17 Jun).

CNA kekal sebagai jenama berita paling dipercayai dalam laporan serupa sejak 2019. Tahun ini, skor kepercayaan jenamanya ialah 74 peratus, satu mata peratusan lebih tinggi daripada The Straits Times, yang berada di tempat kedua dan dimiliki oleh SPH Media Trust.

Channel 5 News, yang menyiarkan News Tonight, liputan buletin berita televisyen harian di saluran bahasa Inggeris secara percuma di Mediacorp, menduduki tempat ketiga dengan skor 71 peratus.

Channel 8 News, yang bersiaran dalam bahasa Mandarin di satu lagi saluran TV Mediacorp, dan Mediacorp Radio News masing-maing memperolehi 69 peratus dan 68 peratus, sekali gus turut disenaraikan berada dalam antara lima kedudukan terunggul itu.

Mediacorp mempunyai lima jenama berita dalam kedudukan 10 teratas dalam kepercayaan, termasuk TODAY.

Kepercayaan keseluruhan terhadap berita di Singapura terus meningkat - naik kepada 47 peratus, berbanding 45 peratus tahun lalu dan 43 peratus pada 2022, dengan saluran arus perdana kekal sebagai jenama paling dipercayai.

Kepercayaan terhadap berita di seluruh pasaran sejagat kekal sama seperti tahun sebelumnya pada 40 peratus.

Finland pula kekal sebagai negara dengan tahap kepercayaan keseluruhan tertinggi pada 69 peratus, manakala Greece dan Hungary adalah yang terendah pada 23 peratus di tengah-tengah kebimbangan mengenai pengaruh politik dan perniagaan yang tidak wajar terhadap media.

SUMBER BERITA ONLINE PALING BANYAK DIGUNAKAN

Laman CNA berkongsi kedudukan terunggul dengan Mothership dari segi penggunaan mingguan, sementara laman The Straits Times muncul di tempat ketiga pada 41 peratus.

Jangkauan online mingguan Mothership yang mencatat 46 peratus adalah dua mata peratusan lebih rendah berbanding tahun lepas dan skor kepercayaan jenamanya tahun ini ialah 55 peratus, iaitu 19 mata peratusan lebih rendah berbanding CNA.

Laporan itu turut mengambil kira pentauliahan akhbar Mothership yang digantung selama enam bulan pada Oktober tahun lalu menyusuli pelanggaran tempoh embargo yang ditetapkan buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita