Skip to main content

Singapura

CNA menang emas bagi Anugerah WAN-IFRA menerusi siri perubahan iklim kepulauan Pasifik

Anggaran Waktu Membaca:
CNA menang emas bagi Anugerah WAN-IFRA menerusi siri perubahan iklim kepulauan Pasifik
Jack Board dari CNA (tengah) dengan hadiah "Kisah Impak Iklim Terbaik" di majlis Anugerah Media Digital WAN-IFRA yang diadakan di hotel Conrad Singapore Orchard pada 5 November 2025. (Gambar: Gloria Dickie)
Diterbitkan : 05 Nov 2025 10:22PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 10:23PM
SINGAPURA: Bagi laporan terperinci tentang bagaimana tiga negara pulau Pasifik menangani perubahan iklim, CNA memenangi anugerah tertinggi di Anugerah Media Digital Persatuan Penerbit Berita Dunia (WAN-IFRA) tahun ini pada Rabu (5 Nov).

Koresponden kemampanan CNA, Jack Board, memenangi pingat emas bagi kategori "Kisah Impak Iklim Terbaik" di majlis anugerah yang diadakan di hotel Conrad Singapore Orchard, yang dihadiri pemimpin kanan perniagaan dan penyuntingan dari rantau ini dan seluruh dunia.

Dalam siri tiga bahagian "Rising Tides: Lessons from Pacific Islands' Climate Survival" yang diterbitkan tahun lalu, CNA meneroka bagaimana perubahan iklim membentuk semula garis pantai, mencabar kehendak pemerintah dan membentuk masa depan golongan muda di kepulauan Pasifik.

Berperanan sebagai penulis, jurugambar dan juruvideo, Encik Board melakukan perjalanan ke Tuvalu, Fiji dan Kiribati untuk merakam cerita, dilema dan daya tahan masyarakat yang tinggal di barisan hadapan perubahan iklim.
Seorang penduduk berbasikal di sepanjang pantai Tuvalu, salah satu negara pertama yang diramalkan akan lenyap akibat kesan perubahan iklim dan kenaikan paras laut. (Gambar: CNA/Jack Board)
"Ia amat memberangsangkan untuk mengetahui bahawa karya yang bercita-cita tinggi dan asli seperti ini - yang mengambil masa untuk melakar konsep, merancang dan melaksanakannya - setanding dengan beberapa laporan iklim yang paling memberi impak di luar sana," kata Encik Board, 38 tahun, yang sudah menjadi wartawan selama 16 tahun.
Bahagian tanah di Tuvalu ini hanya beberapa meter lebar sahaja. (Gambar: CNA/Jack Board)
Anugerah perak dalam kategori tersebut dimenangi oleh Japan Times bagi laporannya tentang bagaimana Jepun menghadapi haba yang melampau dan meningkat akibat perubahan iklim.

Persatuan Penerbit Berita Dunia (WAN-IFRA) adalah pertubuhan global media dunia dan mempunyai rangkaian antarabangsa 3,000 syarikat penerbitan berita dan usahawan teknologi, dan bersama-sama dengan 60 persatuan penerbit, mewakili 18,000 penerbitan di 120 negara.

Anugerah Media Digital Asia WAN-IFRA tahun ini menarik 228 penyertaan dari 41 agensi media merentasi 17 negara.
Tarawa, ibu kota Kiribati, padat dengan penduduk dan dikelilingi air. (Gambar: CNA/Jack Board)
Bahagian pertama siri "Rising Tides: Lessons from Pacific Islands' Climate Survival" oleh Encik Board merungkai persoalan yang dihadapi masyarakat tempatan di Tuvalu, salah satu negara terkecil dan paling terdedah kepada iklim di dunia.

Negara kecil itu diramalkan akan menjadi antara yang pertama lenyap di bawah lautan akibat air pasang yang menghakis garis pantainya.

Satu lagi rencana dalam siri tersebut meneroka dasar negara Fiji yang bercita-cita tinggi bagi menguruskan potensi pemindahan beratus-ratus kampung yang terancam oleh perubahan iklim yang dirumitkan lagi oleh ikatan budaya negara itu yang cukup mendalam terhadap tanahnya.

Laporan yang terakhir memberi tumpuan kepada Kiribati, satu lagi negara Pasifik, yang juga dalam kebuntuan - sama ada untuk memindahkan rakyatnya ke sebuah estet yang belum dibangunkan di Fiji atau berusaha mendapatkan pembiayaan iklim untuk menyelamatkan tanahnya dengan benteng pantai.

Siri tiga bahagian oleh Encik Board tentang pulau Pasifik itu sudah memenangi satu anugerah sebelum ini.

Encik Board, yang juga berpangkalan di Bangkok, merupakan wartawan CNA sejak 2013.

Pada September, beliau juga muncul sebagai pemenang di anugerah berprestij Covering Climate Now, dengan lebih daripada 1,200 penyertaan dari hampir 50 negara dan dinilai oleh lebih 100 wartawan berpengalaman di seluruh dunia tahun ini.

Siri beliau adalah antara tiga pemenang dalam kategori Pemindahan dan Penghijrahan, yang merupakan salah satu daripada 14 kategori di bawah anugerah tersebut.

Menggambarkan laporan beliau sebagai "komprehensif dan dikaji dengan baik", panel juri menyatakan karya Encik Board menyerlah kerana pemahaman dasar yang mendalam dan cara bercerita yang penuh bersifat empati.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita