Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNA komited terus perluas liputan isu perubahan iklim

Dewasa ini, perhatian dunia tertumpu kepada COVID-19 dan ancaman virus itu. Dan memang wajar tumpuan diberikan kepada virus yang boleh membawa maut itu.

Anggaran Waktu Membaca:
CNA komited terus perluas liputan isu perubahan iklim

Banjir di Jakarta Utara, Indonesia pada 5 Jun 2020. (Gambar: REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana)

Diterbitkan : 03 Aug 2020 12:52PM Dikemas Kini : 03 Aug 2020 01:01PM

SINGAPURA: Dewasa ini, perhatian dunia tertumpu kepada COVID-19 dan ancaman virus itu. Dan memang wajar tumpuan diberikan kepada virus yang boleh membawa maut itu.

Di merata dunia, sejumlah besar sumber diperuntukkan untuk menangani kesan jagaan kesihatan, ekonomi dan cabaran sosial akibat COVID-19. Sejak sembilan bulan lalu, CNA memainkan peranannya dengan menyediakan laporan berita yang sahih dan tepat pada masanya, dan akan terus berbuat demikian untuk memberikan perkembangan terkini berhubung COVID-19 di samping kesannya terhadap masyarakat dengan jelas dan bernas.

Sungguhpun demikian, CNA juga memberi tumpuan kepada satu lagi krisis jangka panjang yang penting - iaitu perubahan iklim.

Tahun lalu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menetapkan perubahan iklim sebagai agenda negara, sambil menggambarkannya sebagai "salah satu cabaran terbesar yang dihadapi manusia". Sambil menarik perhatian bahawa benteng-benteng bagi membendung kesan perubahan iklim adalah "penting buat kita", beliau turut memberi amaran bahawa isu perubahan iklim sangat penting ibarat "hidup dan mati".

Berlandaskan ucapan PM Lee itu, CNA komited untuk memperluaskan dengan ketara dan mengekalkan skala liputan berhubung perubahan iklim. Dalam masa beberapa bulan akan datang, CNA akan mempergiatkan liputannya berhubung iklim. Hari ini (3 Ogos), CNA melancarkan satu segmen di laman web cna.asia dan aplikasinya, yang diperuntukkan untuk liputan berhubung perubahan iklim.

CNA akan menerbitkan dengan kerap laporan-laporan berita, liputan ringkas dan dokumentari panjang tentang kesan, benteng pertahanan dan keseimbangan perubahan iklim ke atas Asia, untuk televisyen dan YouTube. Pada lewat bulan ini, CNA akan melancarkan podcast yang diberi nama 'The Climate Conversations' di wadah digital dan stesen radio CNA938.

Anda juga boleh mengakses liputan perubahan iklim yang lebih luas menerusi cna.asia/climatechange.

CNA juga akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan yang memperjuangkan isu yang sama untuk menawarkan askes kepada laporan yang sahih dan berdasarkan konteks berhubung perubahan iklim.

Awal tahun depan, bergantung kepada situasi COVID-19, CNA merancang untuk menganjurkan Sidang Puncak Kepimpinan CNA berhubung Perubahan Iklim yang akan menawarkan akses kepada para penonton untuk mendampingi sebilangan pemikir ulang di Asia yang memperjuangkan isu perubahan iklim. CNA berharap usaha-usaha tersebut akan menyerlahkan lagi komitmen CNA untuk menyediakan liputan alam sekitar yang bermutu dan berdasarkan fakta saintifik.

Dengan segelintir pihak yang enggan menerima hakikat akibat kesan perubahan iklim, CNA akan menjelaskan isu perubahan iklim dari sudut sains, sejelas mungkin, melalui cara yang mudah difahami. CNA juga akan menjelaskan secara mendalam tentang kesan perubahan iklim.

Singapura tidak boleh mengasingkan diri daripada kesan perubahan iklim. Sedang suhu sejagat meningkat, paras air laut juga akan meningkat. Hujan turun lebih lebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia mungkin akan menambah tekanan terhadap sistem saliran air dan mungkin menyebabkan berlaku banjir kilat. Perubahan iklim akan membawa kesan ke atas biodiversiti dan merubah ekosistem. Kenaikan suhu yang lebih tinggi akan meningkatkan kadar penularan virus seperti denggi, tekanan haba dan akan mengancam keselamatan makanan global.

Perubahan iklim bukan setakat satu isu bagi generasi akan datang. Ia berlaku pada saat ini dan akan menimbulkan ketidaktentuan dan membawa kesan kepada para penggubal undang-undang, perusahaan serta individu.

Meskipun sedang Singapura dan dunia menetapkan sasaran untuk mengambil tindakan, misalnya untuk mencapai kadar sifar pengeluaran karbon, CNA akan meninjau bagaimana negara-negara dan masyarakat di Asia menguruskan inisiatif masing-masing untuk mencapai sasaran tersebut. CNA akan memberi penghargaan kepada mereka yang berjaya, namun pada masa yang sama, menarik perhatian kepada pihak-pihak yang mungkin menghadapi cabaran untuk melaksanakan inisiatif mesra alam, kesan yang lebih ketara, atau ketinggalan.

Di tengah-tengah cabaran tersebut, CNA juga akan menampilkan inovasi dan penemuan baru dalam usaha mendakapi tenaga alternatif dan bersih ke arah pembiayaan dana mesra alam yang baru. CNA akan meneroka kisah-kisah yang menampilkan sikap optimis, daya tahan dan keupayaan masyarakat untuk membuat penyesuaian demi menangani perubahan iklim.

Yang penting sekali, CNA akan menceritakan kisah-kisah individu dan golongan yang terjejas dan yang akan terjejas. CNA akan menceritakan kisah mereka yang paling mudah terjejas, terutamanya mereka di Asia dan Asia Tenggara.

Kisah Asia berhubung perubahan iklim bukan sekadar tentang kemampanan. Bagi sesetengah kes, ia melibatkan isu penakatan. Selagi boleh, CNA akan memberikan gambaran apa yang mungkin berlaku pada masa akan datang sebagaimana CNA melihatnya, iaitu sebagai sebuah krisis iklim.

CNA juga mempelawa orang ramai untuk terus membaca, menonton dan mendengar rancangan CNA, sedang ia mengusahakan komitmen jangka panjang ini untuk membawa liputan yang meluas berhubung perubahan iklim.


Walter Fernandez, Ketua Editor, Mediacorp.

Sumber : CNA/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan