Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNA antara 10 jenama terunggul SG

Anggaran Waktu Membaca:
CNA antara 10 jenama terunggul SG

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 31 Jan 2025 10:46PM Dikemas Kini : 31 Jan 2025 10:48PM
SINGAPURA: CNA menduduki tempat kelapan dalam kalangan 10 jenama terunggul di Singapura dalam senarai 'Jenama Global Terbaik 2025' terbitan YouGov, naik satu tangga berbanding tahun lalu.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menduduki tangga teratas bagi Singapura dalam laporan itu yang diterbitkan pada 23 Jan lalu.

Lapangan Terbang Changi dan Shopee masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga.

Ia disusuli dengan WhatsApp, Uniqlo, FairPrice dan Google.

Kedudukan CNA dalam senarai itu juga mendahului Taman di Pesisiran dan YouTube.

Menurut YouGov, kesemua jenama tersebut diberi ranking berdasarkan skor indeks.

Skor indeks sesebuah jenama mencerminkan "kesihatan keseluruhan jenama" itu.

Skor indeks dikira berdasarkan purata enam metrik iaitu tanggapan, mutu, nilai, kepuasan, saranan - sama ada pengguna akan menyarankan jenama itu kepada orang lain - serta reputasinya.

SIA meraih markah 56, manakala Lapangan Terbang Changi dan Shopee masing-masing mendapat markah 49.8 dan 49.5. Markah CNA adalah 43.1.

Samsung merupakan jenama global terunggul, mendahului YouTube, Whatsapp, Google, Adidas dan Nike.

Sementara itu, Colgate, Netflix, Toyota dan Ikea melengkapkan kedudukan laporan jenama utama dunia.

Laporan itu berdasarkan tinjauan terhadap lebih sejuta pelanggan dari 28 pasaran antara 1 Januari dan 31 Disember tahun lalu.

Laporan tersebut juga menarik perhatian kepada 10 jenama yang paling mencatatkan kemajuan berdasarkan skor indeks mereka, dengan Grab mendahului senarai itu dengan skor indeks sebanyak 19.6, naik daripada 14.2 pada tahun sebelumnya.

Trip.com menduduki tempat kedua dengan skor indeks 17.7, naik daripada 13.3 dalam laporan yang diterbitkan pada 2024.

Sementara itu, menduduki tempat ketiga dengan skor indeks 49.5, berbanding 45.2 pada tahun lalu.

Akhbar The Straits Times menduduki tempat ke-10 dalam kalangan jenama Singapura yang paling mencatatkan kemajuan. Skor indeksnya meningkat daripada 32.3 pada 2024 kepada 35.7.

Meskipun jenama-jenama terkenal seperti Apple dan TikTok merupakan antara jenama yang paling mencatatkan kemajuan di Singapura, ia tidak disertakan dalam senarai 10 jenama utama di Singapura.

YouGov menjelaskan jenama-jenama itu tidak disertakan dalam senarai itu kerana "kehadiran sesuatu jenama tidak semestinya bermaksud ia lebih dikenali atau mempunyai kesihatan jenama yang kukuh".

Selain TikTok, jenama media sosial popular yang lain seperti Facebook dan Instagram juga tidak disenaraikan dalam 10 jenama utama di Singapura.

Menurut YouGov, ini kerana platform media sosial tersebut "mungkin mempunyai profil pengguna yang berbeza".

"Oleh demikian, ia mungkin tidak mempunyai ekuiti jenama yang kukuh bagi keseluruhan penduduk", tambah firma penyelidikan dan analitik data itu.

"Misalnya Facebook lebih popular dalam kalangan generasi lebih berumur, manakala Instagram dan TikTok lebih digemari golongan dewasa muda, yang menjejas ranking keseluruhannya dalam pasaran."

Dalam responsnya kepada soalan mengenai jumlah individu yang ditinjau di Singapura bagi laporan itu, serta demografi mereka, YouGov menyatakan bahawa laporannya bukan setakat berdasarkan tinjauan sekali sahaja.

"Skor (sesuatu jenama) adalah purata yang dikira sepanjang tempoh tertentu, dan data itu mencerminkan penduduk dewasa di Singapura," dedah YouGov.

"Sampel tersebut dikira mengikut umur, jantina dan kumpulan pendapatan untuk memastikan ia mencerminkan seluruh penduduk Singapura."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan