Club HEAL mahu luaskan 'Program Keluarga Syifa' ke lebih banyak masjid
(Gambar: Kelab Heal)
SINGAPURA: Program Keluarga Syifa' (PKS) yang dirintis Kelab HEAL untuk golongan yang berisiko mempunyai masalah kesihatan mental, pesakit demensia dan para penjaga mereka akan diluaskan ke lebih banyak masjid di merata negara.
Ia dimulakan pada 2019 dan dijalankan di Masjid An-Nur dan Masjid Assyafaah.
Menurut Kelab Heal, program di Masjid An-Nur disertai 110 peserta manakala Masjid Assyafaah mempunyai 20 peserta.
Presiden Club HEAL, Dr Radiah Salim, berkongsi dengan BERITA Mediacorp bahawa idea bagi program tersebut tercetus pada tahun 2018 sedang negara berdepan dengan masalah penduduk yang semakin menua.
"Kami dari Kelab HEAL sedar bahawa dengan penuaan penduduk Singapura dan lebih ramai warga emas yang mempunyai masalah kesunyian dan pengasingan sosial, lebih ramai pula berisiko mendapat masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan demensia. Pada masa yang sama, hanya segelintir badan-badan Melayu yang terlibat dalam khidmat penjagaan warga emas. Ini menyebabkan kekurangan kegiatan-kegiatan yang relevan daripada segi budaya, komunikasi dan semangat kampung," jelas Dr Radiah.
Program tersebut juga memenuhi keperluan khusus peserta Melayu/Islam.
"Ramai daripada warga emas Melayu/Islam yang mempunyai masalah kesihatan mental atau yang berisiko memberi maklum balas bahawa mereka inginkan kegiatan-kegiatan serupa yang dianjurkan di pusat-pusat kegiatan warga emas (Senior Activity Centres) tetapi di dalam masjid -masjid. Ramai warga emas lebih gemar mengikuti kegiatan-kegiatan yang diiringi dengan unsur-unsur kerohanian.
"Oleh itu, kami mulakan rundingan dengan pihak masjid dan setelah capai persetujuan, kakitangan Kelab HEAL mula memberikan latihan kepada staf dan sukarelawan masjid, serta membimbing mereka dalam menjalankan PKS secara bertahap-tahap, sehinggalah mereka berdikari dan dapat menjalankan PKS tanpa bantuan Kelab HEAL," tambah Dr Radiah.
Program di Masjid An-Nur dikendalikan dua kakitangan masjid dan 10 sukarelawan.
Seramai lima sukarelawan dan dua kakitangan masjid.
Kesemua mereka menjalani kursus-kursus relevan seperti cara mengenal pasti simptom demensia.
Menurut Club HEAL, program serta pelbagai kegiatan yang disediakan mendapat maklum balas yang positif.
"Para peserta amat menghargai PKS ini, mereka berasa lebih bahagia kerana mempunyai lebih ramai kawan. Sebahagian daripada mereka juga menyatakan bahawa, selain daripada menambah ilmu pengetahuan, PKS membantu kesihatan mental mereka dengan aktiviti yang berstruktur dan menyeluruh," kata Dr Radiah lagi.
PKS juga, menurut beliau, telah meningkatkan kesedaran tentang isu demensia dan kesihatan mental dalam kalangan warga emas dan sukarelawan.
Dengan itu, mereka lebih bersedia untuk mengenal pasti dan mempunyai keyakinan untuk menghadapi isu-isu berkaitan dengan kesihatan mental dan demensia.
"Masalah demensia semakin meningkat di kalangan warga emas Melayu/Islam dan ramai penjaga atau ahli keluarga yang rasa agak tertekan bila orang kesayangan mereka mempunyai demensia. Program PKS dapat membantu kedua-dua pesakit demensia dan para penjaga mereka," ujar beliau.
Cik Juniahti Binte Awang, seorang kakitangan Kelab HEAL, berkata maklum balas yang diterima mengenai PKS memberangsangkan.
"Para peserta amat menghargai Program Keluarga Syifa' (PKS) kerana melalui PKS ini, mereka berasa lebih bahagia kerana mempunyai lebih ramai kawan. Sebahagian daripada mereka juga menyatakan bahawa, selain daripada menambah ilmu pengetahuan, PKS membantu kesihatan mental mereka dengan aktiviti yang berstruktur dan menyeluruh," kongsi Cik Juniahti.
PKS juga tidak terhad hanya kepada mereka yang telah disahkan mempunyai demensia.
"Ia juga terbuka kepada mereka yang berisiko mendapat demensia seperti warga emas yang kesunyian atau mereka yang mempunyai masalah kemurungan," kata Dr Radiah.
"Dengan keberkesanan PKS di Masjid Asyafaah dan An-Nur, kami harap lebih banyak pentadbir dan sukarelawan masjid-masjid lain sudi menjalani latihan yang kami ingin tawarkan dengan tidak dikenakan apa-apa bayaran, agar lebih ramai di luar sana yang dapat meraih manfaat dari PKS," kata Dr Radiah.
Club HEAL merancang untuk meluaskan lagi program tersebut ke lebih banyak masjid di merata Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.