Clarke Quay bakal tawarkan kemudahan siang hari susuli ubah elok S$62 juta
Tanggapan pelukis bagi CQ @ Clarke Quay. (Gambar: CapitaLand, Meta Architecture dan Formwerkz Architects)
SINGAPURA: Kawasan kelab malam Clarke Quay akan menjalani kerja-kerja ubah elok bernilai S$62 juta pada lewat tahun ini dengan tujuan untuk menjadikannya sebagai destinasi siang hari juga.
CQ @ Clarke Quay yang baru itu akan menawarkan kegiatan perdagangan dan runcit pada siang hari termasuk pilihan sarapan dan jamuan tengah hari, menurut CapitaLand dalam kenyataan medianya pada Selasa (26 Jul).
CapitaLand, yang memiliki dan menguruskan hartanah tersebut, menyatakan projek selama setahun itu akan bermula pada suku ketiga tahun ini.
CQ @ Clarke Quay akan terus beroperasi sepanjang tempoh ini memandangkan kerja-kerja tersebut akan dijalankan secara berperingkat, jelasnya.
CapitaLand menyatakan 70 peratus daripada kawasan yang boleh disewa di CQ @ Clarke Quay sudahpun diberi komitmen oleh para penyewa dan tempoh sewa pula dalam peringkat rundingan lanjutan.
Para penyewa baru termasuk kedai muzik Swee Lee, cawangan FairPrice Finest dengan kawasan tempat makan serta salon kecantikan dan kafe Catching the Waves.
Rangkaian spa dan rumah urut Natureland dan restoran Seafood Paradise juga sudahpun mendaftar.
Slingshot - permainan mendebarkan yang melontarkan para pemain 70 meter di atas permukaan Sungai Singapura - juga akan ditempatkan di hartanah itu, menurut CapitaLand.
Para penyewa utama sedia ada Zouk dan 1-Group juga akan memperluaskan tawarannya dari siang ke malam, kongsi CapitaLand, sambil menambah pihaknya sedang bekerjasama dengan para penyewa bagi menjadikan CQ @ Clarke Quay mesra haiwan peliharaan.
Selain itu, gudang-gudang di kawasan itu akan dipulihara dan diberikan warna cat baru dengan warna-warna warisan bagi memperingati sejarah Clarke Quay.
Read Bridge juga akan menjalani ubah elok dengan tangga-tangga yang dinaik taraf yang boleh menjadi tempat duduk dan tanjakan dengan tempat untuk meninjau-ninjau pemandangan di kawasan tersebut.
CQ @ Clarke Quay yang baru dikonsepkan oleh syarikat-syarikat tempatan Meta Architecture dan Formwerkz Architects.
CIRI-CIRI HIJAU
Sekitar 34 peratus kos projek itu "diperuntukkan bagi ciri-ciri hijau", jelas CapitaLand, termasuk kanopi baru yang boleh mengurangkan perolehan haba suria sehingga 70 peratus sambil membolehkan sinaran matahari tetap memancar ke bahagian dalamnya.
Ini akan "meningkatkan keselesaan haba siang hari bagi kawasan dalaman hartanah itu," tambahnya.
Kipas pelbagai hala juga akan dipasang bagi meningkatkan peredaran udara. Kipas tersebut akan menggunakan 50 peratus kuang tenaga berbanding kipas satu hala sekarang ini.
Ia juga akan dilengkapii dengan sistem penyejukan kabus sejatan, yang akan menurunkan suhu kawasan persekitaran sebanyak sekitar 2 darjah Selsius tanpa menghasilkan titisan air pada permukaan.
CapitaLand menyatakan selepas kerja-kerja ubah elok itu, rating bangunan hijau CQ @ Clarke Quay dijangka akan dinaikkan ke Tanda Hijau GoldPLUS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.