Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ciri terbaharu BERITA Mediacorp 'mudah & FAST'; guna AI untuk pertingkat pengalaman membaca

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: BERITA Mediacorp melancarkan satu ciri baharu bagi portal dan aplikasinya iaitu 'BERITA FAST'.

Dengan menggunakan kaedah AI Generatif, ciri baharu itu menyediakan ringkasan artikel-artikel yang dipaparkan dalam halaman utama portal dan aplikasi BERITA Mediacorp.

Ini bagi membolehkan para pengguna untuk membaca secara sepintas lalu artikel-artikel di halaman utama portal dan aplikasi BERITA Mediacorp.

BERITA FAST akan meringkaskan sesebuah artikel dalam bentuk empat potong ayat yang menyerlahkan inti pati artikel-artikel tersebut.

Ia ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna peranti digital seperti komputer riba, tablet dan telefon bijak.

"Prakarsa ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan BERITA Mediacorp untuk menjadikan portal dan aplikasi BERITA Mediacorp ini lebih mesra pembaca, lebih-lebih lagi kepada golongan muda, para pelajar dan mahasiswa dengan harapan bahawa mereka ini akan terdorong untuk membaca bahan berita dalam Bahasa Melayu," kata Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Mediacorp, Sujadi Siswo.

SUNTIK KESEGARAN KEPADA PORTAL DAN APLIKASI BERITA

Melalui 'BERITA FAST' juga, para pembaca boleh mendapatkan inti pati berita terlebih dahulu sebelum membaca sepenuhnya artikel berkenaan apabila masa mengizinkan.

"Kita akur bahawa kehidupan di Singapura ini selalu dikejar atau mengejar masa, sibuk. Jadi apa yang kita lakukan adalah untuk menyediakan bahan berita ini dalam bentuk ringkas, tepat, padat, cepat dan ia boleh diakses di mana sahaja seperti sewaktu di dalam perjalanan ke sekolah, MRT ataupun dalam bas.

"Jadi dengan ini, dengan kita mengetahui apa yang terjadi di sekeliling kita, dalam bentuk berita ringkas, kita boleh membuat keputusan dengan lebih tepat lagi pada satu-satu masa yang dikehendaki," kongsi Encik Sujadi yang juga Ketua Perhubungan Masyarakat Melayu Mediacorp.

Di samping itu, ia juga bermatlamat untuk menyuntik kesegaran kepada portal dan aplikasi BERITA Mediacorp dari semasa ke semasa.

Ini dengan memperkenalkan ciri-ciri baharu yang berupaya mempertingkatkan pengalaman membaca dan memudahkan penggunaan portal dan aplikasi BERITA Mediacorp.

PENGGUNAAN AI DALAM BILIK BERITA

Ciri baharu itu juga merupakan usaha untuk memanfaatkan dan menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses kerja seharian di bilik berita.

Encik Sujadi turut menekankan bahawa sesetengah peranan wartawan dan penerbit tidak boleh digantikan dengan AI.

"Manusia itu berbentuk wartawan dan penerbit kerana apa yang menggerakkan AI untuk melakukan sesuatu adalah arahan daripada manusia tetapi kecerdasan yang ada dalam manusia itu tidak boleh dan tidak akan dimiliki sepenuhnya oleh AI.

"Ini termasuk kecerdasan budaya iaitu dalam konteks kita melaporkan sesuatu di Singapura mahupun di rantau ini. Jadi, manusia itu masih diperlukan dalam bilik berita," ujar Encik Sujadi.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan AI masih memerlukan 'sentuhan manusia' untuk menghasilkan bahan berita yang lebih berkualiti.

Dengan penggunaan AI dalam BERITA FAST, tahap ketepatan yang dicapai boleh mencecah sehingga sekitar 85 peratus.

Namun jika sesebuah artikel itu disunting dan disemak lagi oleh para editor, ia boleh meningkatkan lagi ketepatannya sehingga 95 peratus.

Kesemua ringkasan artikel 'BERITA FAST' juga akan disemak dan dikemas kini oleh para editor terlebih dahulu.

Seperti alat-alat AI yang lain, BERITA FAST juga akan dipantau dan dikemas kini secara berperingkat untuk memastikan kandungan berita dapat terus disampaikan dalam bentuk yang ringkas, padat dan tepat.

Cara-Cara Untuk Mengaktifkan BERITA FAST Pada Peranti Digital Anda:

1. Sila kemas kini aplikasi BERITA Mediacorp terlebih dahulu di alat peranti digital anda sebelum menggunakan ciri 'BERITA FAST' untuk membaca ringkasan artikel kami.

2. Tekan butang hijau di sebelah kanan pada bahagian bawah skrin peranti digital anda.

3. Kemudian menatal ke atas atau ke bawah untuk membaca artikel-artikel FAST.

4. Untuk membaca artikel penuh, sila klik 'luaskan'.

5. Selepas selesai membaca ringkasan artikel FAST, klik butang di sebelah kiri pada bahagian atas skrin peranti anda untuk kembali ke 'Halaman Utama'.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan