Skip to main content

Singapura

Ciri interaktif 'hidupkan' lagi pameran Renungan di Bukit Chandu yang dinaik taraf

Mulai esok (9 Sep), orang ramai boleh mengunjungi muzium Renungan di Bukit Chandu (RBC) yang dibuka semula dengan pameran dan artifak-artifak baru.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai esok (9 Sep), orang ramai boleh mengunjungi muzium Renungan di Bukit Chandu (RBC) yang dibuka semula dengan pameran dan artifak-artifak baru.

RBC juga memperkenalkan ciri-ciri baru pameran bagi penceritaan yang lebih baik tentang kisah askar-askar Rejimen Askar Melayu dalam pertempuran Pasir Panjang semasa Perang Dunia Kedua.

Antara tarikan utamanya adalah rakaman video wira perang, Leftenan Adnan Saidi yang belum pernah ditayangkan di mana-mana sebelum ini.

Rakaman video yang dirakam sebelum perang itu menunjukkan Leftenan Adnan berlatih bersama Rejimen Askar Melayu.

PELURU ANTARA ARTIFAK BARU

Selain itu, artifak-artifak baru yang dipamerkan termasuk peluru yang digunakan tentera semasa pertempuran Pasir Panjang dan alat-alat penggalian yang digunakan tentera British.

Bagi membolehkan para pengunjung menghayati dan merenung pengorbanan besar para askar itu, beberapa ciri interaktif turut diperkenalkan.

Related article image

Penolong kurator Muzium Negara, Cik Syafiqah Jaafar berkongsi antara ciri-ciri menarik di muzium itu.

"Antara ciri-ciri yang menarik bagi saya adalah kali ini kami memasukkan lebih banyak elemen multimedia interaktif daripada pintu masuk hinggalah ke dalam pameran itu sendiri. Jadi misalnya akan ada satu persembahan multimedia, yang menceritakan tentang apa yang terjadi di pertempuran pasir panjang," kata Cik Syafiqah.

KENALI SEJARAH BUKIT CHANDU & PASIR PANJANG

Para pengunjung kali ini juga dapat mengenali sejarah Bukit Chandu dan Pasir Panjang menerusi pameran baru di lantai dua bangunan muzium itu yang asalnya dibangunkan untuk pegawai kanan British pada 1930.

Mereka bertugas di Kilang Pembungkusan Candu dan prosesnya dapat disaksikan pengunjung di pameran itu.

"Kami harapkan menerusi pembaharuan kali ini para pengunjung akan dapat menghargai bukan sahaja sejarah peperangan yang berlaku di sini tetapi juga sejarah masyarakat yang pernah hidup di kawasan ini.

"Meskipun pertempuran Bukit Chandu itu merupakan suatu insiden yang amat penting sekali dalam sejarah Singapura tetapi kita juga tidak harus melupakan bahawa kawasan ini merupakan suatu kawasan yang hidup dan masyarakat-masyarakat yang pernah menetap di sini masih juga menetap di kalangan kami pada masa sekarang ini," ujar Cik Syafiqah lagi.

Related article image

Terdapat juga dua jenis sebuah pemasangan seni di luar muzium tersebut - rumah sampan dan troli yang berisi nenas.

Rumah sampan tersebut adalah bagi memperingati masyarakat Orang Seletar yang pernah menetap di kawasan perairan Pasir Panjang manakala troli berisi nenas sebagai kenangan ladang nenas di kawasan itu dahulu.

PENTINGNYA PENGHAYATAN SEJARAH S'PURA

Dalam ucapannya di majlis pelancaran bagi pembukaan semula muzium ini siang tadi (8 Sep), Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman menarik perhatian tentang pentingnya penghayatan sejarah Singapura.

"Kisah-kisah ini menggalak kita untuk menjadi yakin dengan masa depan Singapura, tahu apa yang kita miliki hari ini berbaloi untuk dipertahankan dan diperjuangkan, dan membuat kita berusaha ke arah dunia yang lebih baik. Oleh itu, generasi masa depan kita mesti terus belajar tentang sejarah kita," menurut Dr Maliki.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar turut memberi penghargaannya kepada mereka yang bertungkus-lumus untuk kerja-kerja naik taraf itu dan pencarian artifak baru bagi memastikan RBC kekal relevan buat penduduk Singapura.

Related article image

RBC akan dibuka kepada orang ramai mulai esok (9 Sep) dan masuk adalah percuma hingga 26 September ini.

Pelbagai program akan ditawarkan menjelang hujung minggu ini bagi memperingati ulang tahun berakhirnya Penjajahan Jepun di Singapura pada 12 September.

Ini termasuk "Scavenger Hunt" di muzium itu dan berpeluang mendapatkan cenderamata istimewa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita