Ciri-ciri Apartmen Jagaan Masyarakat buat penduduk warga emas rasa lebih selesa, selamat
Sejak berpindah ke Harmony Village lapan bulan lalu, Encik Moideen Kooyakutty, 79 tahun dan isterinya berasa lebih selesa dan rasa selamat kini.
Penduduk Harmony Village @ Bukit Batok, Encik Moideen bersama isteri. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
SINGAPURA: Sejak berpindah ke Harmony Village @ Bukit Batok lapan bulan lalu, Encik Moideen Kooyakutty, 79 tahun dan isterinya berasa lebih selesa dan rasa selamat kini.
Harmony Village yang terletak di Bukit Batok itu merupakan Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA) pertama yang dilancarkan pada 2021 dan menawarkan sebanyak 169 unit.
"Saya berpindah (ke sana) dan hidup berasingan (daripada keluarga) kerana cucu-cucu saya semua sudah besar. Jadi saya tidak ingin mengganggu mereka dan ingin memberikan mereka 'privacy'," kongsi Encik Moideen kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Di sini, semuanya baik. Jika orang tua ingin berjalan, ada 'ramp' atau tanjakan dan semuanya selesa. Kedua, mereka yang memberi penjagaan juga ramai. Jika satu hari kita tidak berjumpa, mereka akan mencari dan berkata, 'mana Encik Moideen, sudah lama tidak nampak membaca surat khabar'," tambahnya.
Di samping itu, Encik Moideen juga berpuas hati dengan sistem kecemasan yang diterapkan di CCA tersebut.
"Mereka ada memberikan satu sistem alarm. Jadi jika ada apa-apa yang tidak selesa, butang boleh ditekan dan mereka akan sediakan khidmat jagaan 24 jam. Jadi ini semua sangat baik dan kita tidak perlu fikir apa-apa," ujar Encik Moideen.
HUBUNGAN AKRAB DENGAN JIRAN
Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti untuk mendorong penuaan aktif dalam kalangan warga emas di situ.
Encik Moideen yang menghidap kencing manis, masalah jantung dan ginjal, tidak dapat menyertai sesetengah kegiatan senaman dengan kerap akibat keadaan kesihatannya.
Namun begitu, beliau sering ke Pusat Aktiviti untuk membaca, bertegur sapa dan berbual dengan rakan-rakan serta beriadah di taman.
"Rutin harian saya macam ini - saya dapat 'merayap' di taman, pergi ke kedai bersama isteri untuk membeli barang-barang. Saya tidak boleh jalan jauh jadi dekat-dekat bolehlah dan ini sangat selesa bagi saya," kongsi Encik Moideen.
GALAK HIDUP BERMASYARAKAT
Menurut Pengendali Harmony Village, Vanguard Healthcare, CCA bukan hanya menyediakan ruang kediaman tetapi juga memupuk kehidupan bermasyarakat.
"Di sini, kami mempunyai pelbagai jenis warga emas. Ada warga emas yang tinggal bersendirian, ada warga emas yang tinggal bersama pembantu rumah 24 jam. Ada juga pasangan suami isteri yang tinggal di sini. Jadi kita ada warga emas dengan pelbagai keperluan berbeza," kongsi Pengurus Masyarakat, Vanguard Healthcare, Encik Vincent Lai.
"Kami (juga) ada warga emas dengan pelbagai keperluan - daripada kehidupan berdikari, kepada warga emas yang memerlukan lebih banyak bantuan dan dorongan untuk terlibat dalam masyarakat. Jadi untuk sesetengah warga emas, kita juga menyediakan khidmat bantu padankan mereka mencari teman. Apabila mereka baru masuk, mungkin mereka agak segan. Jadi kami cuba ajak mereka turun ke pusat aktiviti, kemudian kami bantu mereka membuat kawan," tambahnya.
RESPONS KECEMASAN 24 JAM
Terdapat beberapa jenis pakej yang ditawarkan termasuk pakej khidmat asas yang memenuhi keperluan-keperluan penduduk termasuk pemeriksaan kesihatan asas dan akses kepada respons kecemasan sepanjang hari.
Selain itu, ada juga khidmat tambahan yang tertakluk kepada pembayaran dan subsidi.
"Kami membantu warga emas dalam aktiviti harian seperti mandi atau membeli makanan. Selain itu, kami juga menjalankan pengurusan kes dan merujuk kepada rakan kongsi kami jika ada kes yang lebih rumit," kongsi Encik Lai.
Dalam pada itu, terdapat juga pos kesihatan masyarakat di apartmen itu yang dikendalikan dengan sokongan Hospital St Luke’s.
"Mereka ada di sini untuk melakukan pemeriksaan berfungsi untuk warga emas kami. Kami juga sering memantau warga emas dengan penyakit kronik dan seberapa kerap mereka mengambil ubat-ubatan mereka, sama ada tepat pada waktunya atau tidak. Kami juga tidak mengenakan sebarang pembayaran tambahan untuk khidmat-khidmat ini," ujar Encik Lai.
DORONG PENUAAN AKTIF DENGAN PELBAGAI KEGIATAN
Terdapat juga beberapa program dan aktiviti yang dianjurkan bagi mendorong warga emas kekal sihat dan aktif serta terlibat dalam masyarakat.
Berbanding dengan kediaman lain di mana warga emas perlu ke pusat kegiatan berhampiran untuk menyertai program-program, di CCA sebegini Vanguard Healthcare akan cuba mendampingi para penduduk.
Misalnya, bagi warga emas yang tidak datang ke pusat aktiviti itu atau bersendirian, para pegawai akan datang ke rumah mereka untuk memastikan mereka tidak rasa kesunyian atau terasing.
Encik Lai berkata: "Sebenarnya kami ada program 'Successful Ageing' khusus untuk warga emas. Setiap hari ada senaman berbeza, daripada Tai Chi, Baduanjin Cina, hinggalah senaman menyeronokkan yang boleh buat warga emas bangun bergerak tetapi apa yang paling mereka gemari ialah menari. Walaupun ada yang duduk di kerusi atau menghidap demensia, mereka tetap menyertai 'Chair Zumba' setiap hari Selasa iaitu program paling popular di sini."
"Selain itu, kami juga ada program kognitif untuk merangsang minda warga emas. Malah perkara mudah seperti mengira wang - kalau ada S$5, berapa kilogram sayur boleh dibeli - juga menjadi latihan. Di samping itu, ada juga program pengayaan yang dikenali sebagai 'Learning Day', di mana warga emas belajar kemahiran seperti perubatan tradisional Cina (TCM), tabiat pemakanan dan cara mengekalkan diet seimbang,” tambahnya.
WARGA EMAS DI TOA PAYOH ALU-ALUKAN INISIATIF BAHARU
Bagi terus menyokong warga emas menua, satu inisiatif baharu 'Kejiranan Sihat Menua' akan dilancarkan.
Ciri-ciri penting CCA akan diterapkan dalam inisiatif itu menurut Perdana Menteri Lawrence Wong dalam NDR 2025.
Inisiatif itu akan dimulakan di Toa Payoh dahulu dan kemudian diluaskan ke kawasan lain.
Anggota Parlimen, GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat menyifatkan inisiatif itu sebagai bermakna untuk membantu warga emas menua dengan sihat di kawasan yang mereka sudah kenali di Toa Payoh.
"Saya amat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri. Toa Payoh salah satu bandar tertua di Singapura dengan hampir satu perempat penduduk berusia 65 tahun ke atas. Jadi tidak hairanlah Toa Payoh dipilih sebagai lokasi perintis Kejiranan Sihat Menua. Ini sangat bermakna kerana ia akan memberi peluang kepada warga emas kita untuk menua dengan sihat dan bermaruah di persekitaran yang mereka kenali," kongsi Encik Saktiandi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Pengumuman ini juga menunjukkan komitmen pemerintah untuk menyesuaikan bandar kita dengan struktur demografi yang sedang berubah supaya Toa Payoh benar-benar menjadi sebuah kejiranan yang inklusif untuk semua warga, tidak kira umur tetapi mesra warga emas," tambah beliau.
ADA 13 PUSAT PENUAAN AKTIF, KEMUDAHAN MESRA WARGA EMAS DI TOA PAYOH
Buat masa ini, Toa Payoh sudah mempunyai beberapa kemudahan dan ciri-ciri warga emas.
Antara lain termasuk Pos Jagaan Masyarakat untuk pemeriksaan kesihatan serta kemudahan sukan dan riadah untuk warga emas.
Di bawah Program Peningkatan Silver (SUP), beberapa kawasan telah dinaik taraf dengan Taman Terapi, Laluan Kecergasan, kemudahan senaman ringan yang dapat dilihat di merata kawasan di Toa Payoh serta elemen mesra demensia.
Selain kemudahan dan ciri-ciri mesra warga emas di kawasan itu, terdapat juga sekitar 13 Pusat Penuaan Aktif di Toa Payoh.
Pusat-pusat itu menyediakan pelbagai program dan khidmat untuk membantu warga emas kekal sihat dan aktif serta terus terlibat dalam masyarakat.
200 CCA AKAN DILANCARKAN DI TOA PAYOH
Toa Payoh juga bakal mempunyai 200 CCA yang akan dilancarkan tahun hadapan.
Encik Saktiandi berkata, "Semua usaha ini akan lebih menyeluruh sebagai perintis di Toa Payoh. Jadi, ia akan melengkapkan inisiatif sedia ada dengan menambah lebih banyak ruang mesra warga emas. Jadi kita tidak mahu apa yang kita ada sahaja. Lebih banyak lagi untuk warga emas kita dari segi perkhidmatan kesihatan dalam masyarakat dan juga sokongan berasaskan rumah yang lebih selamat untuk warga emas kita. Itu saya rasa amat penting."
"Antara keperluan paling mendesak ialah akses mudah kepada penjagaan kesihatan, sama ada perkhidmatan perubatan asas atau penjagaan jangka panjang. Selain itu, warga emas juga mahukan peluang untuk kekal aktif, sihat dan bersosial. Mereka rasa mereka mahu berdikari kerana ramai yang tinggal bersendirian atau hanya dengan pasangan mereka. Mereka perlukan ruang untuk berkumpul, menyertai aktiviti dan mempunyai rangkaian sokongan di dalam komuniti," tambahnya,
Encik Saktiandi juga berharap Toa Payoh boleh dijadikan sebagai model, inspirasi dan rujukan bagi kejiranan-kejiranan lain di Singapura menyokong warga emas menua dengan sihat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.