Ciri anti penipuan baharu Singtel padankan nombor telefon dengan data telko; kurangkan risiko penipu ambil alih kaedah pengesahan
Singtel pada Rabu (6 Mac) mengumumkan pelancaran huraian perniagaan yang bertujuan mempertingkatkan proses pengesahan bagi identiti digital, satu langkah yang sering digunakan oleh penipu untuk mencuri atau memancing maklumat pengguna.

(Gambar: cottonbro studio/Pexels)
Huraian pelbagai yang dikenali sebagai SingVerify itu ditujukan bagi penyedia khidmat seperti wadah e-dagang atau bank, di mana ia seringkali memerlukan pelanggan untuk mengesahkan identiti mereka untuk log masuk atau menukar kata kunci dan bayaran digital.
Pengesahan itu kini dilakukan menggunakan pengesahan dua faktor (2FA) atau proses pengesahan pelbagai faktor (MFA).
Menerusi SingVerify, pengesahan dilakukan di pihak penyedia khidmat, yang dapat mengurangkan peluang bagi penipu mengambil alih proses 2FA atau MFA.
Huraian pertama yang dilancarkan oleh Singtel adalah 'Number Verify'.
Menurut Singtel ia adalah 'sebuah aplikasi yang mengesahkan identiti pelanggan dengan memadankan nombor telefon mereka dengan butiran akaun yang berdaftar pada wadah penyedia khidmat tersebut'.
Identiti pengguna dapat disahkan "serta-merta dan secara langsung" antara penyedia khidmat dan syarikat telko, kata Singtel.
Para pelanggan juga tidak lagi perlu memberikan kod enam nombor yang sering diperlukan dalam kaedah pengesahan yang lain.
KERJASAMA SINGTEL-M1
Secara berasingan, Singtel dan M1 juga mengumumkan hari ini pemeteraian memorandum persefahaman bagi membolehkan pengesahan berdasarkan rangkaian bagi pelanggan mudah alih masing-masing melalui telko API.
Pada 2023, jumlah kes penipuan dan jenayah siber di Singapura meningkat sebanyak 49.6 peratus kepada 50,376 berbanding 33,669 kes pada 2022.
Penipuan pancingan data merupakan antara lima skim penipuan utama yang orang ramai diperdayakan, di mana ia merangkumi sekitar 12.8 peratus daripada semua kes penipuan, kata polis.
Kerugian sebanyak S$651.8 juta dicatatkan bagi kes penipuan pada 2023, iaitu merosot daripada S$660.7 juta pada 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.