Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CiptaSama@M³ mula dijalankan bulan depan

CiptaSama@M³ - iaitu gerakan di mana masyarakat Melayu, agensi-agensi M³ dan Pemerintah saling bekerjasama untuk melakar perubahan dasar demi membina sebuah Masyarakat Cemerlang - akan mula dijalankan bulan depan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: CiptaSama@M³ - iaitu gerakan di mana masyarakat Melayu, agensi-agensi M³ dan Pemerintah saling bekerjasama untuk melakar perubahan dasar demi membina sebuah Masyarakat Cemerlang - akan mula dijalankan bulan depan.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli berhubung perkembangan gagasan CiptaSama itu.

Semasa zaman Yayasan MENDAKI ditubuhkan pada tahun 1982 masalah ramai pelajar Melayu keciciran sekolah dengan 16 peratus sahaja lulus 5 GCE 'O' menjadi kebimbangan masyarakat.

Tapi, masalah keciciran sekolah kini sudah menjadi "masalah semalam", kata Menteri Masagos Zulkifli.

Ini kerana kini lebih daripada 95 peratus anak Melayu berjaya meraih posmenengah seperti sijil Institut Pendidikan Teknikal (ITE), diploma ataupun ijazah universiti.

Namun demikian, kini muncul masalah baru kerana pekerja-pekerjaan mapan sudah semakin hilang dan kehidupan masa depan pula akan mempunyai banyak kejutan atau "disruption" kata Encik Masagos.

Di sinilah pendidikan sepanjang hayat untuk masyarakat Melayu/Islam perlu ditingkatkan lagi kata beliau.

Untuk meraih peluang-peluang yang ada pada masa depan dan membentuk masa depan yang masyarakat inginkan, gerakan CiptaSama@M³ diharap menjadi kenderaannya.

"Untuk masyarakat di Singapura ada isu-isu yang khusus dititik beratkan oleh masyarakat Melayu/Islam jadi kitalah pakarnya, kitalah yang tahu selok belok ataupun nuansa-nuansa dan kita akan terapkan mengikut apa yang menarik dan berkesan untuk masyarakat kita.
Ini adalah permulaan kerana kita harus membiasakan cara kita membentuk dasar-dasar bersama," ujar Encik Masagos.

Encik Masagos menekankan bahawa pada masa depan, tidak cukup untuk Pemerintah sahaja yang memberikan arahan tentang apa yang perlu dibuat atau apakah cara terbaik untuk menangani sesuatu masalah.

Cara terbaik menurut beliau adalah menanganinya secara "bersama-sama" - iaitu masyarakat Melayu/Islam dan Pemerintah sama-sama berbincang, mencipta sama huraian dan sama-sama melaksanakannya.

"CiptaSama tidak sama seperti Perbincangan Singapura (Singapore Conversation). Ini adalah pola pendekatan baru, cara kita memerintah iaitu bersama. Kalau dahulu kita ada projek-projek satu tahun, kita bukukan hasilnya dan inilah kita akan lakukan. Tapi ini adalah satu proses yang kita akan wujudkan untuk selama lamanya satu cara pola kepimpinan baru.

"Kenapa? Kerana ada-ada hal yang pemerintah harus bertanggungjawab mengambil keputusan dan harus mendapat keyakinan masyarakat," terang menteri itu lanjut.

Sesi-sesi perbincangan CiptaSama@M³ akan dijalankan menerusi lapan M³@Bandar di serata Singapura.

Idea-idea yang dianggap penting dari CiptaSama kemudian akan dirintis di M³@Bandar masing-masing dengan sokongan agensi-agensi M³. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan