Cineleisure harap penyewa baharu dapat tamatkan keadaan runcit yang hambar, tetapi pelanggan mahukan lebih
(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Cineleisure, yang pernah menjadi di antara pusat beli-belah paling sibuk di Orchard Road di kalangan remaja pada tahun-tahun 2000, mengalami apa yang disifatkan ramai sebagai "malapetaka kedai runcit" sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Disebabkan jumlah pembeli dan populariti yang berkurangan, beberapa penyewanya terpaksa gulung tikar.
Kini, ia berharap para penyewa baharu dapat menamatkan peristiwa malang itu.
Ia menawarkan beberapa pilihan untuk kanak-kanak, seperti taman permainan tertutup, Skypark by Kiztopia dan studio gimnastik Karpenko Gymnastics Academy (KGA). Terdapat juga gim seni mempertahankan diri baharu serta pawagam yang dikendalikan oleh Golden Village dan The Projector.
Seorang jurucakap Cineleisure berkata bahawa pusat beli-belah tersebut terjejas oleh pandemik COVID-19 dan penutupan *Scape, tempat di mana golongan belia meluangkan masa mereka, yang terletak di sebelahnya.
Pada zaman kegemilangannya, Cineleisure menjadi tarikan bagi belia pada awal tahun-tahun 2000, dengan gabungan kedai-kedai pakaian jalanan, hiasan dan kedai makanan dan minuman (F&B).
Dengan harapan untuk mendapatkan kembali popularitinya, beberapa kedai runcit baharu seperti pengendali taman permainan tertutup Rusia, Amazing Castle, dibuka di Cineleisure. Namun, kedai tersebut akhirnya ditutup juga.
Selain kedai runcit baharu, ia juga mempunyai penyewa 'pop-up' untuk menarik pelanggan. Buat masa ini, sebuah kedai 'pop-up' yang menampilkan kumpulan K-pop lelaki BTS, yang dipanggil "Space of BTS", terletak di tingkat dua pusat beli-belah tersebut.
Sesetengah penyewa berkata, tumpuan diberikan kepada kedai runcit baharu telah membuahkan hasil.
Bagaimanapun, beberapa pembeli berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk mereka mengunjungi pusat beli-belah dengan lebih kerap, atau untuk membuat mereka berada di dalam premis lebih lama.
LEBIH RAMAI PENGUNJUNG
"Satu masalah besar adalah jumlah orang yang ramai sepanjang Orchard Road, mereka tidak lihat sebarang keperluan untuk menukar arah perjalanan dan pusing ke arah Cineleisure," kata Encik Wright, seorang jurutera perisian, mengenai kekurangan pengunjung di pusat membeli-belah itu.
Beberapa perniagaan menyatakan bahawa mereka melihat lebih ramai pengunjung di Cineleisure, kerana pusat membeli-belah itu mengubah strategi terhadap penyewanya.
Encik Timothy Felix, pengasas Active Fitness, berkata tingkat tiga pusat beli-belah itu "agak sibuk" sejak ia membuka studio tinjunya, Sugar Boxing, pada 2021.
LEBIH BANYAK KEDAI F&B DAN FESYEN
Encik Lee, 55 tahun, yang enggan berkongsi nama penuhnya, mencari tiket untuk menonton filem Aquaman and the Lost Kingdom di pawagam secara online.
"Saya melihat pawagam di Cineleisure mempunyai tiket dan saya fikir, kerana saya tidak pernah ke sini sejak kecil, saya akan membawa keluarga saya ke sini," katanya sambil menambah bahawa kerjasama dengan The Projector menarik minatnya.
"Ia sangat sepi di sini pada hari cuti umum. Saya rasa, lebih banyak pilihan F&B diperlukan di sini."
"Mungkin mereka boleh menyediakan lebih banyak kedai fesyen, pada masa dahulu, terdapat banyak perkara yang boleh saya beli ketika saya masih muda," kata Cik Wong yang bertugas sebagai pegawai bank.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.