Skip to main content

Singapura

Cikgu muda ini cat rumah sewa, kumpul baju raya ceriakan Aidilfitri penduduk kurang bernasib baik

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Pengalaman bertugas sebagai seorang polis semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan menyaksikan sendiri banyak insiden membuka mata Atiqullah Ismail.

Ia membuat Atiqullah berazam untuk melakukan sesuatu dan lebih banyak lagi untuk membantu masyarakat, dengan cara beliau sendiri.

Kini, meskipun Atiqullah sibuk menjalankan tugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah, semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya mereka yang kurang bernasib baik, masih berkobar-kobar.

Anak muda berusia 26 tahun itu, memulakan inisiatif yang dipanggil Projek Eid, di mana beliau mengajak beberapa orang rakan untuk turun padang menjelang Ramadan untuk mengecat rumah dan mengumpulkan pakaian Hari Raya untuk para penduduk di flat-flat sewa di estet perumahan Kampong Gelam.
Related article image
Gambar: Instagram/Atiq07
DARI 'FLOORBALL' KE CAT RUMAH

Idea untuk memulakan inisitif itu tercetus semasa beliau mengadakan sesi-sesi pendampingan menerusi permainan sukan ‘floorball’ dengan golongan remaja di estet perumahan tersebut, pada tahun 2020.

"Pada awalnya saya ingin menggunakan sukan sebagai wadah positif bagi belia di sini untuk mengekspresikan diri mereka lebih-lebih lagi kerana saya seorang guru.

"Namun, saya perluaskan Projek Eid ini apabila saya berbual dengan penduduk di sini dan mendapati ramai warga emas tidak mampu dan tidak berdaya untuk cat rumah mereka sebelum Hari Raya. Mereka juga tidak mempunyai baju raya untuk menyambut aidilfitri," kata Encik Atiqullah.

Sehubungan itu, pada 2021, Encik Atiqullah menjalankan kempen derma baju raya bagi penduduk di estet tersebut.
Related article image
Gambar: Instagram/Atiq07
Pada awalnya, beliau risau tidak akan mendapat derma daripada orang ramai kerana beliau hanya berkongsi tentang inisiatif itu melalui akaun Instagram peribadi.

“Kami berjaya mengumpulkan lebih 1,000 baju Raya untuk diagihkan dan kami pamerkan semuanya dalam bentuk pasar lambak di kolong-kolong blok. Para penduduk kemudian datang dan ambil apa sahaja yang mereka mahu. Percuma!,” cerita Encik Atiqullah kepada BERITAmediacorp.
Related article image
Gambar: Instagram/Atiq07

Selepas menerima respons memberangsangkan bagi projek tersebut, beliau memutuskan untuk meneruskannya pada 2022, dengan meneroka pula idea untuk mengecat rumah-rumah yang kebanyakannya dalam keadaan teruk.

“Para penduduk berkongsi bahawa mereka tidak mampu atau tidak berupaya untuk mengecat rumah kerana sebahagian daripada mereka merupakan penduduk warga tua yang hidup sebatang kara,” ujar beliau.

Encik Atiqullah dan rakan-rakannya menyingsing lengan dan berjaya mengecat 10 rumah pada tahun itu, di samping meneruskan usaha mengumpul baju Hari Raya.

Mereka mengakui masa untuk mengecat satu rumah mengambil masa yang lama dan berharap pada tahun-tahun mendatang dapat mengumpul lebih ramai sukarelawan untuk membantu lebih ramai penduduk di sana.

Related article image
Gambar: Instagram/Atiq07
DERMA BAJU RAYA DIBUKA HINGGA 10 APRIL

Pada tahun ini pula, Projek Eid dibahagikan kepada dua fasa. Yang pertama bermula sebelum bulan Ramadan, yang mana Encik Atiqullah dan rakan-rakan beliau sudahpun mengecat tujuh pintu dan pagar.
Related article image
Gambar: Instagram/Atiq07
Fasa kedua pula bermula pada 15 April bagi pengagihan baju Hari Raya. Buat masa ini, mereka masih menerima derma baju Raya bagi para penerima bantuan dan tempoh derma ditutup pada 10 April.

Jika anda ingin menderma baju raya yang masih boleh dipakai, anda boleh mengubungi Encik Atiqullah di Telegram @Atiq957.

Pada 15 April nanti, selain daripada pengagihan baju Raya, sebanyak 700 bungkusan makanan untuk berbuka puasa akan diberikan kepada penduduk flat sewa Kampong Gelam, Lavender dan Whampoa.

Bagi Encik Atiqullah dan rakan-rakannya, harapan mereka adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang cabaran dan masalah yang dihadapi penduduk di estet Kampong Gelam.

"Penduduk di estet ini masih merasakan kesan daripada COVID-19 dan kami ingin membantu dengan sebaik mungkin.

“Seluruh masyarakat flat sewa berdepan keadaan tidak adil. Dalam usaha kami di Kampong Gelam, kami berjumpa dengan samseng jalanan, penjual dadah, menyedari tentang kecuaian ibu bapa serta melihat keadaan kehidupan yang tidak boleh diterima sama sekali. Tiada sesiapa pun yang harus melaluinya sendirian.

“Tiada satu-satu pertubuhan yang boleh mewujudkan satu huraian yang menyelesaikan segala masalah. Bagaimanapun, satu yang kami lihat semasa menjalankan usaha kami adalah masyarakat menjadi lebih baik apabila mereka bersatu padu dan bekerjasama. Seperti mana para remaja dan penduduk warga senja bersama-sama membantu dalam proses pengagihan,” jelas Encik Atiqullah.

Bagi Encik Atiqullah projek yang dilancarkan ini adalah wadah dan peluang untuk rakan-rakannya yang mahu membantu secara 'ad-hoc' kerana mereka juga bekerja dan kadangkala kesuntukan masa untuk kerja-kerja sukarelawan yang lain.
Related article image
Gambar: Instagram/Atiq07
Besar harapan beliau agar lebih banyak kumpulan-kumpulan kecil seperti beliau tampil menghulurkan bantuan demi menyuntik keceriaan dan harapan dalam kalangan penduduk kurang bernasib baik.

"Pada masa akan datang, kami berharap lebih banyak kumpulan seperti saya dan rakan-rakan saya yang menjalin hubungan rapat dengan penduduk dapat dibentuk untuk menyokong penduduk dengan cara mereka sendiri," kata Encik Atiqullah kepada BERITAmediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita