Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chong Pang City diberi nafas baru dengan projek pembangunan bersepadu

Pusat kejiranan Chong Pang City akan diberi nafas baru dengan projek pembangunan bersepadu yang baru merangkumi sebuah kelab masyarakat baru, sebuah pasar dan pusat penjaja dan kemudahan-kemudahan seperti kolam renang dan kedai-kedai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Sep 2020 01:35PM Dikemas Kini : 08 Sep 2020 09:03PM

SINGAPURA: Pusat kejiranan Chong Pang City akan diberi nafas baru dengan projek pembangunan bersepadu yang baru merangkumi sebuah kelab masyarakat baru, sebuah pasar dan pusat penjaja dan kemudahan-kemudahan seperti kolam renang dan kedai-kedai.

Projek pembangunan bertingkat seluas 0.9 hektar itu - lebih besar daripada sebuah padang bola sepak - akan dinamakan Chill @ Chong Pang. Ia akan dibangunkan di tapak Kelab Masyarakat Chong Pang dan Blok 102 Yishun Avenue 5 yang ada sekarang. Blok komersil HDB setinggi empat tingkat itu akan diperolehi Penguasa Tanah Singapura (SLA), menurut pihak berkuasa pada Selasa (8 Sep).

SLA telah mewartakan pemerolehan tanah yang terjejas dan akan membantu para peniaga dan pemilik kedai yang terjejas dalam proses pemerolehan itu, menurut pihak berkuasa.

Blok itu merangkumi 17 kedai yang dijual di tingkat bawah dan 51 kedai yang disewakan HDB. Sebahagian daripada tempat letak kenderaan juga akan terjejas.

Chill @ Chong Pang yang diumumkan oleh Anggota Parlimen Nee Soon K Shanmugam, akan mempunyai tiga kolam renang, sebuah gim, studio senaman, ruang komersil yang sesuai untuk golongan ibu bapa dengan anak-anak kecil dan lebih 300 ruang letak kereta.

Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang menarik perhatian bahawa banyak projek pembangunan baru telah didirikan di GRC Nee Soon selama bertahun-tahun sambil berkata: "Chill @ Chong Pang adalah satu lagi projek sedemikian. Saya fikir ia akan amat dialu-alukan oleh para penduduk Nee Soon, kerana ia bukan sahaja untuk Chong Pang ... Nee Soon South terletak di sebelah, Nee Soon Central di sebelah satu lagi, semuanya pada jarak perjalanan dekat."

Para penduduk berdekatan di Nee Soon East dan Nee Soon Link juga boleh menikmati kemudahan-kemudahan itu, tambahnya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan