Choa Chu Kang Waterworks selesai jalani naik taraf bernilai S$162 juta
Choa Chu Kang Waterworks (CCKWW) sudahpun selesai menjalani kerja naik taraf bernilai S$162 juta yang akan membantunya menangani cabaran dalam memproses air mentah akibat "kesan negatif daripada perubahan iklim".
Loji rawatan air Choa Chu Kang Waterworks (CCKWW) sudahpun selesai menjalankan kerja naik taraf bernilai S$162 juta.
SINGAPURA: Choa Chu Kang Waterworks (CCKWW) sudahpun selesai menjalani kerja naik taraf bernilai S$162 juta yang akan membantunya menangani cabaran dalam memproses air mentah akibat "kesan negatif daripada perubahan iklim".
Kerja-kerja naik taraf itu, termasuk sistem penapisan membran seramik, didedahkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pada Khamis (29 Ogos).
Encik Masagos berkata mutu air tadahan Singapura mungkin merosot akibat perubahan iklim.
"Misalnya, kenaikan suhu boleh menyebabkan air menjadi lebih hangat manakala hujan lebat boleh menyebabkan aliran zat berlebihan ke dalam terusan dan kolam air kita," jelasnya.
Keadaan begini mungkin akan mencetuskan pertumbuhan alga dalam kolam air, yang perlu dikeluarkan sebagai sebahagian daripada proses rawatan air.
"Dalam menghadapi cabaran sedemikian, Lembaga Perbekalan Awam (PUB) perlu terus melabur dalam teknologi rawatan air baru dan menaik taraf loji rawatan air kita seperti yang sudah dilakukan di Choa Chu Kang."
CCKWW merupakan salah satu kilang rawatan air tertua di Singapura, dibina dalam dua fasa pada 1975 dan 1981. Kerja naik taraf selama tiga tahun dari Jun 2016 hingga Jun 2019 melibatkan pembinaan kemudahan baru selain pemasangan membran seramik dan rawatan karbon diaktifkan secara ozon-biologikal (BAC) untuk loji tersebut.
Sistem membran seramik itu, terbesar seumpamanya di dunia dalam sebuah kilang tunggal, akan merawat sehingga 40 juta gelen air sehari. Dengan menapis partikel sekecil 0.1 mikrometer, akan terdapat 12 saluran dengan 90 elemen membran seramik dalam setiap saluran.
Selain membran seramik, kerja peningkatan juga akan menyaksikan pelaksanaan rawatan ozon-BAC di loji tersebut.
Ozon - salah satu pembasmi kuman paling kuat dalam rawatan air minum dapat membunuh kuman di dalam air manakala karbon yang diaktifkan pula menghilangkan kekotoran organik semula jadi, jelas menteri itu.
CCKWW adalah loji air kedua terbesar di Singapura dan ia merawat 80 juta gelen air dari kolam air Kranji, Pandan dan Tengeh iaitu bersamaan dengan saiz 145 kolam renang Olimpik.
PUB menyatakan ia mempunyai rancangan untuk menerapkan proses rawatan air lanjutan di lima lagi loji rawatan air di Singapura - Bedok Avenue, Bukit Timah, Chestnut Avenue, Lower Seletar dan Woodleigh Waterworks - apabila sudah tiba masanya untuk mereka melalui kerja naik taraf.
Chestnut Avenue Waterworks dan Woodleigh Waterworks kini sedang dinaik taraf untuk menerapkan langkah-langkah ozon-BAC dalam proses rawatan air, menurut PUB. Ini dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.
PUB juga memetrai memorandum persefahaman (MoU) dengan PWN dari Belanda dan South West Water dari United Kingdom (UK) untuk berkongsi pengetahun tentang inovasi terkini serta data operasi dan amalan-amalan terbaik bagi sistem membran seramik sepanjang lima tahun akan datang.
Ketiga-tiga agensi air itu kini melaksanakan sistem membran seramik di loji rawatan air mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.