China ucap tahniah kepada PM Lawrence Wong, PAP atas kemenangan dalam GE2025
China mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Lawrence Wong dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum 2025.

PM Lawrence Wong bercakap kepada media di The Treasury pada 4 Mei 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: China mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Lawrence Wong dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum 2025.
"China menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan itu," kata jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian dalam sidang media harian pada lewat petang Selasa (6 Mei).
"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara China dengan Singapura," kata Encik Lin, sambil menambah bahawa China menitikberatkan usaha meningkatkan hubungannya dengan Singapura.
"Kami bersedia bekerjasama dengan pemerintah Singapura yang baharu untuk mengukuhkan komunikasi dan pertukaran, mendalami kerjasama praktikal dan mengukuhkan kerjasama China-Singapura yang menyeluruh, bermutu tinggi dan berorientasikan masa hadapan ke peringkat baharu," kata Encik Lin.
Para pemimpin dari beberapa negara seperti negara jiran Malaysia dan Indonesia, Jepun, India dan New Zealand juga mengucapkan tahniah kepada Encik Wong dan PAP.
Dalam satu kenyataan pada 3 Mei, Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio berkata Amerika Syarikat mengalu-alukan kerjasama rapat dengan pemerintah Singapura yang baharu dilantik.
"Selama hampir 60 tahun, Amerika Syarikat dan Singapura berkongsi kerjasama strategik yang kukuh dan berdaya tahan, dan komitmen terhadap rantau Indo-Pasifik yang selamat, bebas dan makmur," kata Encik Rubio.
Dalam Pilihan Raya Umum pertama di bawah pentadbiran Encik Wong, PAP menang 87 daripada 97 kerusi, meningkatkan perkongsian undi dari 61.2 peratus kepada 65.57 peratus, menang beberapa kawasan undi dengan persaingan hangat dan meluaskan margin kemenangan di sebahagian besar kawasan undi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.