Skip to main content

Singapura

China larang pengasas bersama Manus berpangkalan di SG tinggalkan negara sedang perjanjian Meta disiasat: Laporan

Anggaran Waktu Membaca:
China larang pengasas bersama Manus berpangkalan di SG tinggalkan negara sedang perjanjian Meta disiasat: Laporan

Logo Meta di pusat pameran Porte de Versailles di Paris, Perancis, pada 11 Jun 2025. (Gambar fail: Reuters/Gonzalo Fuentes)

Diterbitkan : 26 Mar 2026 06:28PM
BEIJING: China melarang dua pengasas bersama syarikat permula kecerdasan buatan (AI) Manus daripada meninggalkan negara itu sedang pihak berkuasa menyemak sama ada pemerolehan firma itu yang bernilai AS$2 bilion (S$2.57 bilion) oleh Meta melanggar peraturan pelaburan, lapor Financial Times.

Ketua eksekutif Manus, Xiao Hong dan ketua saintis Ji Yichao telah dipanggil menghadiri mesyuarat di Beijing dengan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) bulan ini, kata FT pada Rabu (25 Mac), sambil menukil seorang sumber yang lebih berpengetahuan.

Susulan mesyuarat itu, kedua-dua eksekutif yang berpangkalan di Singapura itu diberitahu bahawa mereka tidak boleh meninggalkan China kerana semakan kawal selia sedang dilaksanakan, walaupun mereka bebas untuk melancong di dalam negara, menurut laporan itu.

Manus sedang giat mendapatkan bantuan guaman dan perundingan untuk membantu menghuraikan perkara tersebut, kata akhbar itu.

"Urus niaga itu mematuhi sepenuhnya undang-undang yang terpakai. Kami menjangkakan huraian yang sesuai untuk siasatan itu," kata jurucakap Meta kepada Reuters dalam satu kenyataan menerusi emel.

Manus ditubuhkan di China tetapi memindahkan ibu pejabat dan pasukan terasnya ke Singapura Julai lalu, susulan pusingan pembiayaan yang diketuai oleh firma modal teroka Amerika Syarikat Benchmark.

Kementerian Keselamatan Awam China dan Manus belum segera memberi respons kepada permintaan untuk mendapatkan komen.

Meta mengumumkan pada bulan Disember bahawa ia akan memperoleh Manus, yang membangunkan ejen AI bagi tujuan umum yang mampu beroperasi sebagai pekerja digital, dengan melaksanakan tugas seperti penyelidikan dan automasi dengan sedikit dorongan.

Terma kewangan perjanjian itu tidak didedahkan, tetapi seorang sumber memberitahu Reuters pada masa itu bahawa perjanjian tersebut menetapkan nilai Manus pada AS$2 bilion (S$2.57 bilion) hingga AS$3 bilion (S$3.85 bilion).

Awal tahun ini, kementerian perdagangan China menyatakan pihaknya akan menilai dan menyiasat pemerolehan Manus oleh Meta.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita