China hantar delegasi universiti pertahanan ke Dialog Shangri-La 2 tahun beruntun
China akan menghantar sebuah delegasi daripada Universiti Pertahanan Nasional Tentera Pembebasan Rakyat ke Dialog Shangri-La tahun ini di Singapura, menandakan tahun kedua berturut-turut Beijing memilih untuk tidak menghantar menteri pertahanannya ke sidang keselamatan utama Asia itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan China Jiang Bin bercakap semasa satu taklimat media pada 28 Mei 2026. (Gambar: CNA/Andy Tan)
Delegasi tersebut akan diketuai Mejar Jeneral Meng Xiangqing dari universiti pertahanan berkenaan, menurut Kementerian Pertahanan China semasa satu taklimat media pada Khamis (28 Mei), sekali gus dilihat pengesahan khabar angin sebelum ini bahawa Menteri Pertahanan Dong Jun tidak akan menghadiri acara hujung minggu itu, yang bermula pada Jumaat.
Mejar Jeneral Meng akan berucap di acara tersebut, begitu juga dengan mantan Timbalan Menteri Ehwal Luar Cui Tiankai, menurut Institut Pengajian Strategik Antarabangsa (IISS), yang menganjurkan sidang tahunan itu.
Edisi tahun ini akan menyaksikan penyertaan 44 negara, menurut Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) pada Khamis, dengan 54 delegasi peringkat menteri dan lebih 42 delegasi Ketua Angkatan Pertahanan serta pegawai kanan pertahanan dari negara-negara Asia-Pasifik dan Eropah, selain ahli akademik terkemuka.
Presiden Vietnam To Lam akan menyampaikan ucaptama pada Jumaat malam, manakala Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta akan menyampaikan satu ucapan khas pada Sabtu.
Presiden Tharman Shanmugaratnam akan menganjurkan satu majlis sambutan di Istana pada Sabtu, dan Menteri Pertahanan Chan Chun Sing akan berucap di sesi pleno pada Ahad mengenai topik “Perkongsian Keselamatan yang Berkembang dalam Dunia yang Semakin Berpecah Belah”, menurut MINDEF.
Encik Chan juga akan menjadi tuan rumah kepada para menteri yang melakukan kunjungan bagi beberapa sesi perbincangan meja bulat - satu acara tetap sidang tersebut - pada Sabtu dan Ahad.
Selain itu, beliau juga akan menjadi tuan rumah kepada Menteri Pertahanan negara-negara dalam Kerjasama Pertahanan Lima Negara (FPDA) - Australia, Malaysia, New Zealand dan Britain - bagi satu sesi sarapan.
Encik Chan akan menyertai rakan sejawatannya dari Filipina, Setiausaha Pertahanan Nasional Gilberto Teodoro Jr, untuk menjadi hos bersama bagi mesyuarat sarapan bersama para menteri pertahanan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan para menteri dan pegawai kanan dari pelbagai negara di luar sidang tersebut, menurut MINDEF.
Ditubuhkan pada 2002, Dialog Shangri-La merupakan persidangan pertahanan dan keselamatan utama di rantau Asia-Pasifik.
Selama bertahun-tahun, ia “menyediakan platform berharga bagi pertukaran pandangan mengenai isu dan inisiatif pertahanan serta keselamatan” dan “memudahkan peluang bagi negara-negara sehaluan untuk bekerjasama menangani cabaran baharu”, menurut MINDEF.
Konflik di Timur Tengah - termasuk perang Amerika Syarikat-Iran - ketidakpastian terhadap komitmen Amerika Syarikat di Asia serta ketegangan yang semakin meningkat berhubung Taiwan dijangka menjadi tumpuan agenda di sidang tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.