Skip to main content

Singapura

Chia Song Hwee pengerusi baharu JTC Corporation mulai 1 Jul

Encik Chia Song Hwee akan mengambil alih daripada Encik Tan Chong Meng sebagai pengerusi JTC Corporation, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Khamis (17 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Chia Song Hwee pengerusi baharu JTC Corporation mulai 1 Jul

Encik Chia Song Hwee (kiri) akan menggantikan Encik Tan Chong Meng sebagai pengerusi JTC Corporation mulai 1 Julai 2025. (Gambar: MTI)

Diterbitkan : 17 Apr 2025 09:48PM Dikemas Kini : 17 Apr 2025 09:52PM
SINGAPURA: Encik Chia Song Hwee akan mengambil alih daripada Encik Tan Chong Meng sebagai pengerusi JTC Corporation, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Khamis (17 Apr).

Encik Chia, yang kini Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek International, akan dilantik sebagai pengerusi JTC pada 1 Mei sebelum mengambil alih jawatan pengerusi pada 1 Julai.

Encik Tan telah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah JTC selama lebih enam tahun, kata MTI. JTC ialah lembaga berkanun di bawah MTI yang membangunkan dan menguruskan pelbagai kemudahan, termasuk taman perindustrian.

Sebelum berkhidmat di Temasek International, Encik Chia ialah ketua pegawai operasi di GlobalFoundries, yang telah disepadukan dengan Chartered Semiconductor Manufacturing.

Beliau sebelum ini adalah pengarah lembaga, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Chartered Semiconductor Manufacturing.

Encik Chia juga merupakan ahli Majlis Penasihat Antarabangsa, Pentadbiran Kawal Selia Kewangan Kebangsaan China. Beliau juga berkhidmat sebagai ahli lembaga Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

SUMBANGAN KEPADA JTC

Encik Tan dilantik sebagai pengerusi JTC pada April 2019.

Beliau menerajui JTC sepanjang pandemik COVID-19 dan mengubahnya menjadi "perancang induk industri dan pemaju yang berpandangan jauh dalam menyokong agenda ekonomi Singapura", kata MTI.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan Encik Tan, JTC memulakan pembangunan estet bijak generasi baharu yang memupuk ekosistem yang bertenaga dan inovatif, dan menerapkan kemampanan sebagai prinsip teras dalam semua usaha perindustriannya," tambah kementerian itu.

Estet generasi baharu itu termasuk Daerah Inovasi Jurong seluas 600 hektar dan Daerah Digital Punggol.

Encik Tan juga menyelia hampir 1 juta meter persegi pembangunan perindustrian bertingkat tinggi generasi baharu seperti Hab Sekitaran Binaan Kranji.

Beliau mengambil alih sebagai pengerusi Lembaga Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pada Januari, dengan penggalnya dijadual berakhir pada 31 Dis 2027.

Dr Beh Swan Gin, Setiausaha Tetap MTI, berkata: "Saya ingin merakamkan penghargaan mendalam MTI kepada Chong Meng atas kepimpinan dan sumbangannya yang tidak ternilai kepada JTC.

"Saya juga ingin mengalu-alukan Song Hwee ke dalam keluarga MTI. Saya yakin Song Hwee akan meneruskan usaha cemerlang Chong Meng dan membawa JTC ke tahap yang lebih tinggi."

Pelantikan Encik Chia bukanlah satu-satunya pertukaran kepimpinan di JTC sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Cik Jacqueline Poh mengambil alih sebagai CEO JTC Corporation pada 1 Apr, menggantikan Encik Tan Boon Khai.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita