Chee Soon Juan, Paul Tambyah dilantik semula pimpin SDP

Chee Soon Juan dan Paul Tambyah. (Gambar fail: Sarah Yang)
SINGAPURA: Dr Chee Soon Juan dan Profesor Paul Tambyah dilantik semula ke sebagai pimpinan Parti Demokratik Singapura (SDP).
Profesor Tambyah, pakar penyakit-penyakit berjangkit, terus menyandang jawatan pengerusi SDP manakala Dr Chee kekal sebagai setiausaha agung parti tersebut, menurut satu catatan di Facebook SDP pada Isnin (10 Jan).
Dr Chee telah menjadi ketua SDP sejak 1993 manakala Profesor Tambyah merupakan pengerusi parti itu sejak 2017.
Ada dua muka baru dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), yang dipilih semasa sidang parti tersebut pada Ahad (9 Jan).
Mereka ialah Cik Min Cheong-Subramaniam, calon yang pernah bertanding di GRC Holland-Bukit Timah semasa Pilihan Raya Umum 2020 dan Encik Naresh Subramaniam, seorang karyawan media.
"Mereka merupakan orang kuat sayap belia parti, Demokrat Muda," menurut SDP dalam satu emel kepada Mediacorp hari ini (11 Jan).
Anggota-anggota lain CEC SDP ialah Encik Bryan Lim Boon Heng, Encik Jufri Salim, Cik Surayah Akhbar, Encik Matthew Tan Chin Guan, Encik Ang Seow Peng, Encik Sng Choon Guan, Encik Ashukumar Veerappan dan Dr James Gomez.
Encik John Tan, mantan naib pengerusi SDP dan Dr Wong Souk Yee, penolong bendahari parti tidak disenaraikan dalam jawatankuasa CEC tersebut.
Parti itu juga menyatakan pemegang jawatan akan dilantik pada pertemuan CEC akan datang, dan anggota-anggota CEC juga boleh dijemput (co-opted) menyertai jawatankuasa itu pada hari yang sama. Namun, parti itu tidak memberikan butiran lanjut tentang tarikh pertemuan tersebut.
SDP bertanding di tiga Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan dua Kawasan Undi Perseorangan (SMC) pada Pilihan Raya Umum 2020, namun, gagal memenangi sebarang kerusi di Parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.