Chee Soon Juan gesa reformasi sistem pilihan raya, tegaskan SDP tidak akan berundur walaupun kalah dalam GE2025
Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Chee Soon Juan, mengulangi gesaan beliau agar diadakan pembaharuan pilihan raya pada Ahad (18 Mei), dalam kenyataan awam pertamanya sejak kekalahan SDP dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Paul Tambyah, dan Setiausaha Agung, Chee Soon Juan, bercakap semasa sidang media pada 18 Mei 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
“Daripada berundur, apa yang akan kami lakukan adalah memulakan kempen untuk memperbaharui, membina semula, dan menyemarakkan semula,” katanya kepada wartawan sebelum majlis makan malam penghargaan bagi para anggota SDP.
Parti pembangkang itu kalah di keempat-empat kawasan undi yang ditandinginya.
Dr Chee hampir berjaya dilantik sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) selepas meraih 46.82 peratus undi di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Sembawang West.
Persaingan satu lawan satu antara Encik Chee dan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Poh Li San, merupakan perlawanan ketiga paling sengit dalam pilihan raya tersebut.
Pada Ahad, Dr Chee menggariskan tiga inisiatif utama yang akan diusahakan parti tersebut, dengan yang pertama merupakan satu petisyen online berkaitan pembaharuan bagi sistem pilihan raya.
Petisyen itu mengetengahkan enam perubahan “mendesak dan bermakna” bagi memastikan sistem politik Singapura mencerminkan tahap ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti demokrasi yang tertinggi.
Antara gesaan yang dikemukakan termasuk memindahkan Jabatan Pilihan Raya daripada Pejabat Perdana Menteri, menghentikan amalan 'gerrymandering', iaitu menetapkan semula sempadan pilihan raya secara tidak adil, serta memansuhkan sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
Petisyen itu juga menggesa agar tempoh berkempen minimum ditetapkan selama tiga minggu, tempoh enam bulan antara pengumuman sempadan kawasan undi dengan pembubaran Parlimen, serta semakan terhadap Akta Akhbar dan Percetakan di Singapura untuk mewujudkan media yang bebas dan berdikari.
Dr Chee menyifatkan pilihan raya tahun ini sebagai “pilihan raya tangkap dan lari” oleh parti pemerintah PAP.
“Kempen ini dijalankan dengan terlalu tergesa-gesa,” katanya.
Beliau menambah bahawa para pengundi hampir tidak sempat meneliti isu-isu nasional yang "penting" sebelum Hari Mengundi.
“Ini maklum balas yang kami terima berulang kali, terutamanya daripada para pengundi muda,” katanya. Menurutnya, apabila pengundi mula terlibat, mereka tiba-tiba “digesa” agar membuat keputusan.
Dr Chee menekankan bahawa petisyen parti tersebut adalah satu usaha yang "tidak berpihak".
“Ia merupakan prinsip asas bagi tadbir urus yang baik dan integriti demokratik,” tulisnya di laman Change.org. “Singapura sudah bersedia untuk melangkah ke tahap kematangan politik seterusnya dengan memastikan pilihan raya kita benar-benar bebas dan adil.”
Pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah, berkata petisyen online itu hanyalah langkah permulaan, dan mungkin berkembang menjadi cabaran dari segi undang-undang.
“Diharapkan kami dapat mengekalkan momentum ini,” katanya, sambil menambah bahawa parti itu akan mengambil pendekatan pelbagai hala bagi tempoh lima tahun akan datang.
PELANCARAN KOPERASI SOSIAL
Inisiatif kedua yang diumumkan SDP adalah penubuhan "Orange and Teal Social Enterprise Co-operative", yang bertujuan mewujudkan satu "alternatif ekonomi berpusatkan rakyat untuk mengimbangi gabungan PAP-NTUC."
Dr Chee berkata bahawa Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah "hilang hala tuju". Malah, Singapura terus "dikuasai" PAP dan NTUC.
Menurutnya, koperasi itu akan beroperasi dari peringkat akar umbi dan akan berusaha untuk menawarkan pekerjaan dengan gaji yang adil, berbeza daripada pendekatan yang diamalkan parti pemerintah dan gerakan kesatuan sekerja.
“Kami mahu rakyat Singapura memiliki sebahagian daripada perniagaan ini,” katanya. Mereka yang mendaftar sebagai ahli akan dikenakan yuran sebanyak S$100.
Menurut laman webnya, koperasi tersebut berhasrat untuk memperkasakan pekerja, pekerja bebas, golongan kreatif dan perniagaan kecil di Singapura melalui pemilikan bersama, inovasi yang digerakkan masyarakat serta peluang pekerjaan yang inklusif.
MINAT GOLONGAN MUDA KIAN MENINGKAT
SDP turut memaklumkan bahawa pihaknya melihat lonjakan jumlah golongan muda yang kini semakin berminat untuk melibatkan diri dalam proses politik.
“Kami akan manfaatkan perkembangan itu,” kata Dr Chee, sambil menambah bahawa sebahagian pengundi muda merasakan proses politik sedia ada tidak memuaskan.
Parti itu percaya lonjakan minat itu adalah ia hasil penggunaan TikTok dan meme politik yang menarik perhatian para pengundi.
“Salah satu perkara menarik yang kami lihat ialah ramai anak muda, termasuk yang masih belum layak mengundi, tampil menunjukkan minat,” kata Encik Ariffin Sha, yang merupakan sebahagian daripada pasukan SDP yang bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee.
Beliau menambah, ramai yang merasakan bahawa pilihan raya kali ini terlalu tergesa-gesa dan mengalami "rasa ketidakadilan yang mendalam" apabila SMC Bukit Batok "dihapuskan daripada peta" pilihan raya.

Dr Paul Tambyah pula berkata, semasa satu acara latihan pada hujung minggu ini, ramai peserta menyatakan bahawa sebelum ini mereka "tidak peduli akan hal politik" dan ini merupakan kali pertama mereka menjejakkan kaki ke pejabat sebuah parti politik.
"Mereka rasa takut sedikit, tetapi kami mahu mengubah rasa takut itu menjadi satu impian. Inilah yang kami mahu capai dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.