Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chee Hong Tat kembali ke tugas sepenuh masa di khidmat Pemerintah, Desmond Tan akan sertai gerakan buruh

Anggaran Waktu Membaca:
Chee Hong Tat kembali ke tugas sepenuh masa di khidmat Pemerintah, Desmond Tan akan sertai gerakan buruh

Menteri Negara Kanan Chee Hong Tat (kiri) dan Menteri Negara Desmond Tan (kanan). (Gambar: PAP)

SINGAPURA: Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan meletak jawatannya Isnin depan (13 Jun) dan kembali ke tugas sepenuh masa di khidmat pemerintah. 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis kepada Presiden NTUC Mary Liew pada 2 Jun meminta agar Encik Chee kembali ke tugas sepenuh masa, dan di khidmat Pemerintah dan menawarkan Menteri Negara Desmond Tan untuk menyertai gerakan buruh, menurut NTUC pada Isnin (6 Jun). 

Jawatankuasa Pusat NTUC bertemu pada 3 Jun dan menerima permintaan Encik Lee agar Encik Chee kembali ke khidmat Pemerintah. Encik Chee menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Cik Liew, dan ia diterima. 

Sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin, Encik Chee akan dilantik sebagai Menteri Negara Kanan dalam Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 Jun selain terus memikul tanggungjawab di Kementerian Pengangkutan. 

Encik Tan akan dilantik Menteri Negara di PMO pada hari yang sama. 

NTUC UCAP TERIMA KASIH KEPADA CHEE HONG TAT

Jawatankuasa Pusat NTUC memuji "usaha Encik Chee dalam meningkatkan mutu kehidupan pekerja" melalui tanggungjawabnya selaku pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Latihan NTUC, di mana beliau menyelia tugas latihan dan transformasi NTUC seperti Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dan Majlis Jaminan Pekerjaan. 

"Beliau juga bertanggungjawab bagi inisiatif seperti Peta Hala Tuju Operasi dan Teknologi untuk membantu syarikat mengubah tempat kerja mereka. Setakat 1 Mei, NTUC sudah menubuhkan lebih 900 CTC di pelbagai sektor dan dalam landasan untuk mencapai sasaran sebanyak 1,000 pada tahun ini," menurut NTUC. 

Sebagai anggota Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerja Bergaji Rendah, Encik Chee berusaha mendapatkan  gaji lebih baik dan menyokong secara aktif  model gaji progresif bagi pekerja lif dan tangga bergerak. 

Beliau juga "banyak menyokong" kerja kesatuan seperti Kesatuan Pekerja Khidmat Jagaan Kesihatan dan Kesatuan Pekerja Tenaga dan Gas selaku penasihat mereka, serta sebagai setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik. 

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, Encik Chee "banyak membantu Kesatuan Pekerja Maritim Singapura dan Persatuan Pelaut Singapura" untuk mendapatkan vaksinasi bagi pekerja di sektor maritim supaya dapat mengurangkan gangguan terhadap rantaian bekalan sejagat. 

"Jawatankuasa Pusat NTUC berharap dapat bekerjasama dengan Encik Chee dalam jawatan barunya dan yakin bahawa beliau akan terus memberi perhatian pada kepentingan pekerja," tambah NTUC. 

DESMOND TAN AKAN SERTAI GERAKAN BURUH

Jawatankuasa Pusat NTUC berkata, ia menerima saranan Encik Lee agar Encik Desmond Tan berkhidmat di gerakan buruh. Pelantikan rasmi beliau dijadual berlangsung pada masa yang akan ditentukan kelak, katanya sedang ia mengalu-alukan penyertaan Encik Tan ke dalam pergerakan buruh. 

"Encik Tan merupakan penasihat kepada Kesatuan Pekerja Rantaian Bekalan. Sebagai Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, beliau bekerjasama dengan Kesatuan Pekerja Keselamatan untuk memajukan pelaksanaan model gaji progresif bagi sektor keselamatan," menurut NTUC. 

"Ketika Encik Tan bertugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Rakyat (PA), beliau menerajui kerjasama antara PA dan NTUC Enterprise Co-operative Limited untuk membentuk Pakej Permulaan Baik, satu ciri utama Gerakan Keibubapaan PA." 

Dalam surat Encik Lee kepada Cik Liew, beliau menulis: "Dalam masa yang tidak menentu ini, peranan NTUC dalam kerjasama perikatan tiga pihak dan pembangunan negara lebih penting sekarang daripada dahulu." 

Justeru, PM Lee berkata Encik Tan akan dilantik sebagai Menteri Negara di PMO, dan akan "melepaskan Encik Tan daripada jawatan dan tugasnya di kementerian lain". 

Encik Tan kini memegang jawatan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran. 

"Dengan cara ini, beliau boleh meluangkan lebih banyak masa untuk menjalankan  tugasnya di  NTUC, dan beri lebih sokongan sepenuhnya  kepada Setiausaha Agung NTUC dan pergerakan buruh dalam usaha kami untuk mempertingkatkan mata pencarian dan masa depan pekerja kita," tambah Encik Lee.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan