Chee Hong Tat beri amaran terhadap 'politik bersifat pecah belah dan iri hati' berhubung data pekerjaan
Singapura mesti "menolak dengan sekeras-kerasnya segala percubaan untuk merenggangkan pelbagai kumpulan" dalam masyarakat, kata Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat pada Rabu (8 Jan).

Menteri Negara Kanan Chee Hong Tat.
SINGAPURA: Singapura mesti "menolak dengan sekeras-kerasnya segala percubaan untuk merenggangkan pelbagai kumpulan" dalam masyarakat, kata Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat pada Rabu (8 Jan).
"Janganlah kita mengambil laluan ekonomi lain yang bergelut dengan cabaran politik yang memecahbelahkan dan bersifat iri hati," katanya dalam satu catatan Facebook.
Beliau berkata demikian bagi menyokong pendirian Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing selepas Encik Chan menjawab soalan Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh di Parlimen pada Isnin (6 Jan) tentang pecahan pekerjaan baru antara rakyat Singapura dan warga asing.
Semalam, Encik Chee berkata: "Dalam usaha mengembangkan ekonomi negara, kami sentiasa mengimbangi pelbagai keseimbangan termasuk sejauh mana kita membawa masuk warga asing untuk menyokong tenaga kerja tempatan."
Apa yang penting ialah hasil bagi para pekerja, tambah beliau.
"Mengenai perkara ini, dapatannya memberangsangkan - Singapura kekal berdaya saing di peringkat global dengan menarik pelaburan, kadar pengangguran kekal di paras yang rendah, gaji rakyat Singapura semakin meningkat dan pekerjaan yang baik terus diwujudkan sekarang dan pada masa akan datang," kata Encik Chee.
Penduduk Tetap (PR) dalam tenaga kerja Singapura juga sudah menyumbang kepada Singapura, dari segi ekonomi dan sosial walaupun mereka menerima subsidi lebih dan manfaat yang lebih rendah berbanding rakyat Singapura, tambah Encik Chee.
Encik Singh memfailkan soalan di parlimen bagi menanyakan tentang jumlah pekerjaan yang menggajikan rakyat Singapura, PR dan warga asing bagi setiap industri di bawah 23 Perancangan Perubahan Industri (ITM) yang dilancarkan secara bertahap-tahap sejak 2016.
Encik Singh juga sudah berulang kali meminta perincian itu.
Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad sudah membentangkan perincian tersebut di Parlimen.
Encik Singh juga bertanya jika Pemerintah akan mendedahkan lebih banyak data tentang tenaga kerja rakyat tempatan "baik melalui soalan di parlimen ataupun atas budi bicara pemerintah sendiri".
"Jika pendekatan pemerintah adalah tidak, kita tidak akan menyediakan data itu, bolehkah Menteri mengongsi perincian itu di sini bersama kami kerana tidak ada maknanya untuk kami terus meminta data jika pemerintah tidak akan memberikan data itu," kata Encik Singh.
"Saya tidak rasa kita ada sesuatu yang cuba disembunyikan," jawab Encik Chan. "Kami sudah mengongsi data itu."
Encik Singh kemudian meminta perincian berhubung pecahan antara rakyat Singapura dan PR bagi pekerjaan PMET yang mendorong Encik Chan untuk mempersoalkan motif di sebalik soalan-soalan itu.
"Saya sentiasa berhati-hati tentang perpecahan sebegini: 'Rakyat Singapura lawan PR'. Andaian seperti itu seolah-olah menggambarkan rakyat Singapura tidak meraih sebarang manfaat," kata Encik Chan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.