Chee Hong Tat akan pimpin Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina, ganti Edwin Tong
Perdana Menteri Lawrence Wong melantik Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat sebagai pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG) berkuat kuasa Jumaat (23 Mei).
Encik Chee Hong Tat akan mengambil alih jawatan pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG) daripada Encik Edwin Tong mulai 23 Mei 2025. (Gambar fail: CNA/Wallace Woon)
Beliau menggantikan Menteri Undang-Undang Edwin Tong, yang akan terus berkhidmat sebagai penasihat CCLG.
Dalam kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat, PM Wong berkata Encik Chee merupakan ahli CCLG sejak 2015 dan "terlibat aktif dengan masyarakat Cina serta sering mendampingi pelbagai segment, khususnya kumpulan dan persatuan perniagaan".
"Saya menantikan kerjasama Hong Tat dengan pertubuhan-pertubuhan utama masyarakat Cina untuk mengukuhkan pembaharuan kepimpinan supaya mereka boleh kekal relevan dan dinamik. Saya yakin Hong Tat akan meneruskan kerjasama baik CCLG dan memperdalam hubungan antara pemerintah dengan masyarakat Cina," kata beliau.
PM Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Tong atas sumbangan beliau kepada CCLG sejak beliau menyandang jawatan pengerusi pada November 2020, sambil menambah Encik Tong sudah melakukan banyak perkara untuk mendampingi masyarakat Cina.
"Semasa pandemik COVID-19, Edwin dan ahli CCLG bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan utama masyarakat Cina untuk mengenal pasti cara-cara inovatif untuk mengekalkan hubungan dengan anggota masyarakat Cina dan menyediakan sokongan kepada segmen masyarakat yang mudah terjejas," kata PM Wong.
"Yang jelas, Edwin juga memainkan peranan utama dan dengan berjaya selaku pengantara bagi mencapai kesepakatan antara Teochew Poit Ip Huay Kuan dengan Ngee Ann Kongsi berhubung perancangan pembangunan semula Bangunan Teochew yang bersejarah."
Ditubuhkan pada 2000, CCLG bertujuan mempertingkat hubungan pemerintah dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat Cina serta mempertingkat kerjasama dalam kalangan kumpulan-kumpulan masyarakat Cina. Ini terdiri daripada pemegang jawatan dan anggota parlimen yang berusaha untuk kerap mendampingi masyarakat Cina.
Antara pengerusi sebelum ini CCLG ialah Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, Menteri Pertahanan Chan Chun Sing dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.