Cheah Kit Sun, Goh Meng Seng dikenakan arahan pembetulan POFMA berkaitan dakwaan palsu vaksin COVID-19
MOH pada Isnin (29 Nov) tegaskan catatan blog itu "membesar-besarkan secara palsu" bahaya vaksin COVID-19 dan bertujuan menggalak orang ramai agar jangan dapatkan suntikan vaksin.
SINGAPURA: Arahan pembetulan dikeluarkan ke atas penulis, Cheah Kit Sun dan anggota politik pembangkang Goh Meng Seng berhubung catatan blog yang membesar-besarkan secara "palsu" bahaya vaksin COVID-19 dan menggalakkan orang ramai agar tidak mendapatkan suntikan vaksin, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (29 Nov).
"Adalah penting untuk membetulkan kepalsuan ini, terutamanya dengan usaha memberi dos penggalak vaksin sedang dijalankan," tegas kementerian itu.
Catatan blog Encik Cheah, bertajuk Jangan Sertai Masyarakat yang Menyisih Anda (Do Not Participate in a Society that Rejects You), diterbitkan pada 20 Oktober di pelbagai lokasi online.
Ia turut dikongsi di laman Facebook Encik Goh, pengasas Parti Kuasa Rakyat, pada hari yang sama.
Arahan, yang dikeluarkan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), menghendaki mereka menerbitkan notis pembetulan dengan satu pautan kepada catatan blog dan catatan media sosial mereka.
PENJELASAN TENTANG KEPALSUAN DALAM CATATAN BLOG
"Catatan blog itu mengelirukan orang ramai hingga memikirkan bahawa vaksin COVID-19 adalah penemuan paling berbahaya yang dibangunkan baru-baru ini kerana ia menyebabkan kadar kematian dan kecederaan serius yang jauh lebih tinggi berbanding semua vaksin lain sejak 10 tahun lalu," menurut MOH.
"Dakwaan ini adalah palsu", tegas kementerian itu, sambil menambah bahawa vaksin COVID-19 yang diluluskan untuk digunakan di Singapura adalah selamat.
"Vaksin-vaksin itu telah dinilai sebagai selamat dan berkesan di peringkat antarabangsa oleh agensi kesihatan dan saintifik yang bereputasi baik, dan di Singapura oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19."
Setakat 31 Okt, kadar kesan sampingan serius yang dilaporkan oleh karyawan penjagaan kesihatan kepada HSA ialah 0.006 peratus daripada jumlah dos yang diberikan.
Setakat ini, tiada kematian dikaitkan dengan vaksin COVID-19, tambah MOH. "Manfaat menerima vaksin COVID-19 terus jauh melebihi risiko vaksinasi."
MOH menambah bahawa data Sistem Pelaporan Kesan Sampingan Vaksin (VAERS) Amerika Syarikat juga tidak menyokong dakwaan bahawa vaksin COVID-19 telah menyebabkan kadar kecederaan serius dan kematian yang jauh lebih tinggi.
"Vaksin COVID-19 telah diberikan kepada sebahagian besar penduduk Amerika Syarikat pada 2021, manakala vaksin lain telah diberikan kepada individu yang jauh lebih sedikit jumlahnya pada mana-mana tahun.
"Oleh itu, adalah mengelirukan untuk membandingkan jumlah kesan sampingan yang dilaporkan dan kematian melibatkan vaksin COVID-19 dan bukan COVID," jelas kementerian itu.
Terdapat juga pengawasan dan kesedaran yang lebih tinggi tentang pelaporan kesan sampingan bagi vaksin COVID-19, berbanding dengan vaksin-vaksin lain, menurut MOH lagi.
Ia menambah bahawa mana-mana orang awam boleh melaporkan kesan sampingan dan kematian kepada sistem VAERS, tidak kira sama ada ia disebabkan oleh vaksin atau faktor lain.
"Laporan itu tidak perlu disahkan," tambah MOH.
"Laporan-laporan itu sering kurang butiran dan kadangkala mengandungi kesilapan. Tiada bukti diperlukan bahawa kesan sampingan atau kematian disebabkan oleh vaksin. Dan kesampingan tidak perlu serius; ia termasuk kesan sampingan ringan seperti ruam/selesema/sakit kepala."
MOH menyatakan catatan Encik Cheah itu ditulis "untuk memperbesar-besarkan secara palsu bahaya vaksin COVID-19, dan untuk menggalak orang ramai agar tidak mengambil suntikan vaksin".
"Jika orang ramai mempercayai kepalsuan ini, mungkin akan ada padah kesihatan yang serius bagi mereka yang kemudiannya kekal tidak divaksin," tegas kementerian itu.
"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bukti setakat ini ialah kesan sampingan yang serius telah dilaporkan hanya pada 0.006 peratus daripada jumlah dos yang diagihkan."
MOH menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan/atau menyebarkan maklumat salah yang boleh mencetuskan kebimbangan orang ramai, dan sebaliknya merujuk kepada sumber maklumat yang boleh dipercayai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.