Skip to main content

Singapura

Chatbot AI baharu bantu pengguna buat aduan polis dengan lebih tepat

Membuat aduan polis di kiosk layan diri tidak lama lagi akan menjadi lebih cepat dan jelas, dengan bantuan chatbot kecerdasan buatan (AI) yang baharu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Sep 2025 07:50PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 03:17PM
SINGAPURA: Membuat aduan polis di kiosk layan diri tidak lama lagi akan menjadi lebih cepat dan jelas, dengan bantuan chatbot kecerdasan buatan (AI) yang baharu.

Ia akan memberi panduan langkah demi langkah kepada para pengguna, bagi memastikan tiada sebarang butiran penting yang tertinggal.

Kiosk-kiosk tersebut membolehkan orang ramai membuat laporan polis pada bila-bila masa, mengikut rentak mereka.

Namun, tanpa panduan, butiran penting biasanya tertinggal.

Ini kerana pengguna tidak tahu akan maklumat yang perlu diberikan.

Ia bermakna pegawai siasatan perlu membuat panggilan susulan kepada pengadu untuk mendapatkan maklumat yang tidak diberikan.

Proses tersebut boleh memakan masa.

"Dengan R-COP, sebuah chatbot didayakan AI, polis menyasarkan untuk menambah baik pengalaman membuat aduan dan memastikan bahawa maklumat penting disertakan untuk mengurangkan panggilan susulan yang dibuat oleh polis," kata Pegawai Operasi, Jabatan Operasi, Pasukan Polis Singapura, Alden Tan.

"R-COP akan disediakan di semua kiosk layan diri yang terletak di tujuh ibu pejabat divisyen darat polis mulai 1 Oktober 2025."

Dengan R-COP, pengguna boleh memberi butiran kes mereka — seperti penipuan atau pencurian — dalam kata-kata mereka sendiri.

Chatbot itu kemudian akan memberikan arahan untuk mendapatkan butiran berkaitan bagi memastikan semua butiran relevan tidak tertinggal.

Semua maklumat itu kemudian akan disusun secara automatik untuk menjadi ringkasan yang padat dan menyeluruh.

Pengguna perlu menyemaknya untuk kali terakhir dan tekan butang hantar. Kes itu kemudian akan diserahkan kepada pegawai bertugas.

Menurut polis, semua data akan dilindungi dan disimpan dalam server pemerintah.

Para pegawai juga bersedia membantu jika pengguna menghadapi sebarang kesukaran.

Bagi mereka yang memilih untuk membuat laporan polis secara manual, mereka masih boleh memfailkannya di kaunter.
Sumber : CNA/FZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita