Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CHAS, MediSave diperluas buat sementara bagi tampung nasihat perubatan melalui persidangan video

Mulai Jumaat (3 Apr), para pesakit yang layak bagi subsidi CHAS untuk penyakit-penyakit kronik dan pembayaran menggunakan MediSave, akan dibenarkan untuk menggunakan persidangan video bagi sesi-sesi susulan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
CHAS, MediSave diperluas buat sementara bagi tampung nasihat perubatan melalui persidangan video

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 01 Apr 2020 10:22AM Dikemas Kini : 01 Apr 2020 10:25AM

SINGAPURA: Mulai Jumaat (3 Apr), para pesakit yang layak bagi subsidi Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) untuk penyakit-penyakit kronik dan pembayaran menggunakan MediSave, akan dibenarkan untuk menggunakan persidangan video bagi sesi-sesi susulan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (31 Mac).

Sebelum ini, mereka perlu hadir berjumpa doktor untuk sesi-sesi susulan.

Menurut MOH, 'tempoh lanjutan luar biasa yang terbatas' ini akan diteruskan sehingga skim Klinik Kesediaan Awam (CPC) yang diaktifkan semasa pandemik COVID-19 digugurkan atau apabila diputuskan oleh kementerian itu.

MOH menambah bahawa keputusan itu dibuat untuk menyokong langkah-langkah jarak selamat yang diumumkan sebelum ini oleh pihak berkuasa.

"Ini akan membolehkan para pesakit yang keadaan mereka stabil untuk mengelakkan kunjungan ke klinik sepanjang tempoh tahap amaran dinaikkan disebabkan oleh COVID-19," menurut MOH.

Langkah tersebut akan merangkumi para pesakit di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik, yang meliputi tujuh masalah kronik iaitu kencing manis, darah tinggi, kecelaruan lipid, masalah kemurungan yang serius, skizofrenia, kecelaruan bipolar dan keresahan.

Masalah-masalah kesihatan itu dirangkumkan kerana secara amnya, ia boleh diuruskan dengan mendapatkan nasihat doktor menerusi persidangan video tanpa memerlukan pemeriksaan fizikal jika seseorang pesakit itu dalam keadaan stabil, menurut kementerian tersebut.

Ia juga merangkumi sejumlah besar pesakit yang memanfaatkan CHAS dan MediSave untuk menampung kos rawatan penyakit kronik mereka, tambah MOH.

Para pesakit boleh menggunakan subsidi Kronik CHAS dan had MediSave untuk mengimbangi kos mendapatkan nasihat doktor menerusi persidangan video, ubat-ubatan dan siasatan berkaitan.

Para kakitangan jagaan kesihatan yang ingin menawarkan nasihat perubatan kepada para pesakit ini menerusi persidangan video mesti menjalani latihan teleperubatan secara online untuk membiasakan diri dengan amalan-amalan terbaik, menurut MOH.

MOH menambah bahawa para penyedia jagaan kesihatan seharusnya memberikan nasihat perubatan menerusi persidangan video hanya untuk para pesakit yang pernah dirawat secara fizikal.

Ini supaya mereka boleh mengesahkan terlebih dahulu sama ada pesakit memang sesuai untuk mendapatkan nasihat menerusi kaedah sedemikian.

Sekiranya pesakit memerlukan pemeriksaan fizikal, pihak penyedia jagaan kesihatan seharusnya meminta pesakit untuk pergi terus ke klinik untuk bertemu secara langsung.

Senarai institusi jagaan kesihatan yang menawarkan nasihat perubatan menerusi persidangan video bagi para pesakit kronik di bawah subsidi CHAS dan pembayaran MediSave boleh didapatkan di laman web MOH mulai 3 April.

Jumlah penyedia seumpama itu akan ditambah secara bertahap-tahap sedang lebih ramai pesakit mendapatkan nasihat doktor menerusi persidangan video.

"Para pesakit juga boleh bertanya kepada para penyedia jagaan kesihatan masing-masing untuk mengetahui sama ada mereka sesuai mendapatkan nasihat perubatan menerusi persidangan video bagi masalah-masalah tertentu," menurut MOH.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan