Charles Yeo diburu polis, langgar syarat perjalanan ke luar negara semasa diikat jamin
Bekas pengerusi Parti Reform itu gagal pulang ke Singapura selepas mendapat kebenaran untuk ke Vietnam atas urusan kerja.
Charles Yeo di Mahkamah Negara pada 19 Januari 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
Polis dalam satu kenyataan pada Isnin (1 Ogos) menyatakan pihaknya telah mengeluarkan warta bagi Charles Yeo ditahan kerana melarikan diri. SPF menambah bahawa ia juga bekerjasama dengan rakan penguatkuasa undang-undang asing untuk mengesan keberadaan Yeo.
Dalam satu pengumuman di Instagram pada Sabtu, Yeo berkata dia sedang memohon "suaka politik" di United Kingdom, selepas berulang kali mendakwa dalam beberapa bulan kebelakangan ini bahawa tuduhan jenayah terhadapnya "bermotif politik".
Menurut polis pihaknya maklum mengenai catatan Yeo di media sosial.
Yeo dikenakan ikat jamin ketika meninggalkan Singapura minggu lalu, setelah mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk pergi ke Vietnam atas urusan kerja. Namun, lelaki berusia 31 tahun itu gagal pulang ke Singapura dan sebaliknya berkata dia telah terbang ke UK.
Yeo didakwa pada Januari atas beberapa catatan di media sosial yang mendakwa dia mengganggu seorang pegawai polis dan menyinggung perasaan keagamaan penganut Kristian.
SPF menyatakan Yeo juga bebas dengan ikat jamin polis kerana disiasat atas kesalahan berasingan berhubung pecah amanah jenayah oleh peguam dan kesalahan melakukan pemalsuan, selepas aduan dibuat terhadap Whitefield Law Corporation. Yeo ialah bekas rakan kongsi firma tersebut.
Pada 20 Julai, Mahkamah Daerah memberi Yeo kebenaran untuk pergi ke Vietnam bagi tujuan kerja antara 27 Julai dan 30 Julai.
Polis menyatakan Yeo melaporkan diri kepada Pegawai Siasatan pada 26 Julai untuk mengambil pasportnya, menyediakan jadual perjalanan, dan memberikan jaminan tambahan dengan penjaminnya sebelum berlepas pada keesokan hari.
Di bawah syarat permohonannya untuk meninggalkan Singapura, Yeo dikehendaki melaporkan diri kepada pegawai siasatan pada 1 Ogos pukul 6.00 petang untuk menyerahkan pasport sekembalinya ke Singapura.
“Charles Yeo tidak pulang ke Singapura pada 30 Julai dan dia tidak melaporkan diri kepada Pegawai Siasatan pada 1 Ogos,” kata SPF, sambil menambah bahawa ia menerima laporan daripada penjaminnya pada 31 Julai memaklumkan bahawa Yeo tidak pulang ke Singapura pada 30 Julai dan tidak dapat dihubungi.
“Susulan laporan itu, Polis cuba menghubungi Charles Yeo pada 1 Ogos tetapi tidak berjaya. Memandangkan Charles Yeo telah melanggar syarat kelulusan Mahkamah bagi perjalanan ke luar negara, polis mengeluarkan warta polis bagi penahanan Charles Yeo."
Yeo adalah sebahagian daripada pasukan Parti Reform yang bertanding di GRC Ang Mo Kio pada Pilihan Raya Umum 2020, menentang pasukan lima anggota yang diketuai Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Dia meletak jawatan sebagai pengerusi parti itu berikutan penahanannya pada Januari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.